Syarikat dari Turkiye dialukan teroka peluang perdagangan di Malaysia

Anwar ketika menghadiri Majlis Makan Malam dan Dialog anjuran Independent Industrialists and Businessmen’s Association (MUSIAD) sempena misi perdagangan yang terdiri daripada 41 syarikat dari Turkiye. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar ketika menghadiri Majlis Makan Malam dan Dialog anjuran Independent Industrialists and Businessmen’s Association (MUSIAD) sempena misi perdagangan yang terdiri daripada 41 syarikat dari Turkiye. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus memperkukuh jaringan perniagaan-ke-perniagaan antara Malaysia dan Republik Turkiye dan mengalu-alukan syarikat-syarikat dari negara berkenaan untuk meneroka pelbagai peluang perdagangan di negara ini.

Menerusi catatan di Facebook pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah menghadiri Majlis Makan Malam dan Dialog anjuran Independent Industrialists and Businessmen’s Association (MUSIAD) sempena misi perdagangan yang terdiri daripada 41 syarikat dari Turkiye.

Beliau berkata, Turkiye kekal menjadi satu daripada rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat dan sehingga kini, enam projek pembuatan dengan pelaburan republik itu telah dilaksanakan di negara ini melibatkan jumlah pelaburan bernilai AS$123.2 juta (RM429.2 juta).

"Pada tahun 2022, Turkiye merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan perdagangan dua hala berjumlah AS$4.62 bilion (RM20.25 bilion),” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut bertemu dengan Duta Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel, Naib Pengerusi MUSIAD Davut Altunbas dan Pengerusi MUSIAD Malaysi,a Sabri Yardimci.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan wakil daripada agensi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). - Bernama