Sarawak sasar tiada projek sakit menjelang hujung tahun ini

Kerajaan Sarawak menyasarkan tiada projek kerajaan yang sakit atau tertangguh secara kritikal di negeri itu menjelang hujung tahun ini berikutan tindakan menamatkan kontrak syarikat asal yang mendapat projek terlibat dan digantikan dengan kontraktor penyelamat. - Gambar hiasan
Kerajaan Sarawak menyasarkan tiada projek kerajaan yang sakit atau tertangguh secara kritikal di negeri itu menjelang hujung tahun ini berikutan tindakan menamatkan kontrak syarikat asal yang mendapat projek terlibat dan digantikan dengan kontraktor penyelamat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak menyasarkan tiada projek kerajaan yang sakit atau tertangguh secara kritikal di negeri itu menjelang hujung tahun ini berikutan tindakan menamatkan kontrak syarikat asal yang mendapat projek terlibat dan digantikan dengan kontraktor penyelamat.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Aidel Lariwoo berkata, pelantikan kontraktor penyelamat telah membolehkan projek sakit terbabit dapat dibangunkan kembali dan ada yang sudah mendahului jadual asal penyiapannya.

"Antara penyebab utama Sarawak ada banyak projek sakit sebelum ini adalah sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19 yang mengakibatkan masalah kekurangan tenaga kerja asing dan masalah kenaikan harga bahan binaan penting seperti pasir,” katanya kepada pemberita.

Sebelum itu beliau mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi merasmikan Persidangan Pengurusan Aset Fizikal dan Infrastruktur 2023 anjuran Universiti Malaysia Sarawak CWorks Technologies Sdn Bhd di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kenaikan harga pasir berpunca daripada kenaikan harga diesel yang diperlukan kapal pengorek pasir dan tongkang untuk beroperasi.

Aidel berkata, projek pembinaan Jambatan Marudi di Bahagian Miri di utara Sarawak merupakan antara projek yang terjejas sewaktu pandemik COVID-19 dahulu dan kontraktor penyelamat yang dilantik selepas itu sudah berjaya memulihkan projek berkenaan

"Saya tiada butirannya, tetapi ia sudah mendahului jadual penyiapannya," katanya sambil menambah projek pembinaan jambatan sepanjang 650 meter bernilai RM116.5 juta itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025. - Bernama