'Tidak timbul soal ancaman kedaulatan bila Rohingya sambung belajar'

Mohamed Khaled - Foto Bernama
Mohamed Khaled - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Soal ancaman kedaulatan negara tidak timbul susulan pelarian Rohingya diberi peluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) di dalam negara.

Ini kerana kata Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebagai sebuah negara bertamadun, Malaysia diharap untuk membantu pelarian.

"Dalam konteks ini, Qatar menyediakan sumbangan untuk pelarian Rohingya," katanya menerusi sidang akhbar sempena Program Semarak Siswa Madani di sini pada Selasa.

Menurutnya, KPT tiada halangan untuk memberi tempat kepada golongan itu sekiranya mereka benar-benar layak.

"Kita tahu masa depan mereka bergantung sama ada dia boleh dapat ilmu ataupun tidak," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kebimbangan segelintir pihak selepas Rohingya diberi peluang untuk menyambung pengajian di universiti tempatan.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipilih sebagai institusi yang akan mendaftarkan pelarian Rohingya sebaik sahaja program pengajian diwujudkan.

Peluang pengajian tinggi untuk Rohingya ini dibiayai oleh derma AS$50 juta daripada Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum 2020.

Mohamed Khaled berkata, penempatan pelarian Rohingya sebagai mahasiswa tidak tertakluk kepada institut pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja.

"Kalau hendak masuk universiti, mereka sememangnya pandai dan layak. Ia tidak semestinya IPTA tetapi boleh juga swasta (IPTS)," katanya.

Dalam majlis tersebut, Mohamed Khaled menyampaikan insentif RM2,000 seorang kepada 31 pelajar IPT yang menyumbangkan pingat emas di dalam temasya Sukan SEA ke-32 di Kemboja Mei lepas.

Pada perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, kerajaan tidak boleh memaksa syarikat atau majikan memberi layanan sama rata terhadap pelatih industri.

Menurutnya, pelatih industri juga menyedari bahawa mereka bukanlah pekerja di syarikat berkenaan.

"Mereka bukan pekerja maka sudah tentu tidak wajar untuk mendapat gaji atau layanan sama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!