MPAJ tolak rayuan tangguh pindah tapak niaga

Peniaga membantah arahan pemindahan tapak niaga oleh MPAJ. - Foto: Bernama.
Peniaga membantah arahan pemindahan tapak niaga oleh MPAJ. - Foto: Bernama.
A
A
A

AMPANG - Rayuan peniaga tapak gerai dan pasar basah di Kampung Dato Mufti Shuib untuk penangguhan pemindahan tidak dapat dipertimbangkan selepas permintaan itu telah diluluskan sebanyak dua kali.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam satu kenyataan berkata, cadangan pemindahan peniaga itu telah bermula sejak 2017 iaitu semasa projek pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dilaksanakan.

Menurutnya, keperluan memindahkan tapak niaga ini semakin memuncak apabila SUKE Fasa 1 mula beroperasi pada 16 September lalu yang menyebabkan kesesakan terutama pada Sabtu dan Ahad selepas pelanggan meletak kenderaan di bahu jalan.

"Pemindahan pasar pagi, gerai dan pasar basah ke tapak baharu dilaksanakan secara berperingkat bermula pemindahan tapak pasar pagi ke tapak baharu di sebelah Padang Taman Kosas.

"Semua 60 peniaga pasar pagi tersebut telah berpindah berkuat kuasa Oktober lalu manakala 15 peniaga gerai dan pasar basah yang berada di atas rizab kawasan lapang berhadapan kawasan perumahan, mereka akan dipindahkan ke Medan Selera Pandan Indah, Medan Selera Angsana Hilir dan Pasar Basah Tasik Tambahan," katanya menerusi kenyataan.

Katanya, beberapa siri perbincangan di tapak serta mesyuarat penyelarasan dengan peniaga telah dibuat bagi tujuan pemindahan tersebut.

Selain itu katanya, sebanyak tiga notis telah dikeluarkan kepada semua peniaga gerai dan pasar basah terlibat dengan notis terakhir pada Mei 2023 lalu.

"Mengambil kira rayuan daripada peniaga gerai dan pasar basah, pemindahan yang sepatutnya dibuat pada Mac lalu telah ditangguhkan sebanyak dua kali iaitu pada Jun 2023 dan terkini ditangguhkan sehingga 1 September 2023.

"Justeru, rayuan peniaga untuk dibuat penangguhan kali ketiga iaitu sehingga 1 Januari 2024 tidak dapat dipertimbangkan," katanya.

Kata kenyataan itu, operasi pasar berkenaan terletak di atas rizab kawasan lapang yang sangat hampir dengan kediaman penduduk telah menimbulkan kacau ganggu dan kesesakan trafik.

Tambahnya, bangunan pasar basah juga tidak mempunyai kelulusan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

"Selepas pemindahan tapak gerai dan pasar basah ini, MPAJ akan mengembalikan fungsi tersebut sebagai tanah kawasan lapang.

"MPAJ juga telah menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kawasan lapang tersebut untuk kegunaan penduduk setempat," katanya.