Cahaya Society sokong KPM teliti pindaan peraturan 1998

Cahaya Society sokong usaha KPM bagi memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak tanpa dokumen mendapatkan akses pendidikan di sekolah kerajaan. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Cahaya Society sokong usaha KPM bagi memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak tanpa dokumen mendapatkan akses pendidikan di sekolah kerajaan. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Cahaya Society menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak tanpa dokumen mendapatkan akses pendidikan di sekolah kerajaan.

Jawatankuasanya dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, bagi memastikan usaha itu dapat direalisasikan dengan konkrit dan komprehensif, beberapa perkara susulan ingin dicadangkan.

"Pertama, mendefinisikan istilah tanpa dokumen atau warganegara untuk konteks Sabah, memandangkan istilah ini masih disalah fahami dan membentuk stigma yang cenderung kepada fahaman perkauman yang radikal.

"Mengenal pasti kanak-kanak tanpa dokumen menerusi pemetaan dan pendataan di lapangan serta sesi konsultasi bersama NGO/NGI yang bekerja dalam isu ini.

"Ia termasuk menghasilkan pelan tindakan yang menyeluruh dengan mengambil kira pandangan para akademik, aktivis, 'think-tank' dan pengamal advokasi pendidikan membabitkan kanak-kanak tanpa dokumen dengan memastikan representatif Sabah dan Sarawak secara penuh," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semua pihak terbabit perlu melancarkan kempen 'Pendidikan Untuk Semua' sama ada berbentuk digital dan fizikal ke seluruh negara.

"Ia bagi memastikan tiada lagi sentimen dan prejudis yang membawa kepada perpecahan kaum.

"Justeru, Cahaya Society amat berharap agar pihak kerajaan serius, komited dan sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan cadangan pindaan ini berjaya," kata kenyataan itu.

Pada 14 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan KPM sedang meneliti untuk meminda peraturan kemasukan ke sekolah bagi memastikan akses pendidikan disediakan kepada kanak-kanak termasuk bukan warganegara dan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penerimaan Masuk Murid Ke Sekolah, Penyimpanan Daftar dan Syarat Bagi Pengekalan Murid Belajar Di Sekolah) 1998 itu akan terpakai bagi kemasukan ke sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.