KPM teliti semula syarat kemasukan kanak-kanak ke sekolah

KPM sedang meneliti untuk meminda peraturan kemasukan ke sekolah bagi memastikan akses pendidikan disediakan kepada kanak-kanak, termasuk bukan warganegara dan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. - Gambar hiasan
KPM sedang meneliti untuk meminda peraturan kemasukan ke sekolah bagi memastikan akses pendidikan disediakan kepada kanak-kanak, termasuk bukan warganegara dan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti untuk meminda peraturan kemasukan ke sekolah bagi memastikan akses pendidikan disediakan kepada kanak-kanak, termasuk bukan warganegara dan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penerimaan Masuk Murid Ke Sekolah, Penyimpanan Daftar dan Syarat Bagi Pengekalan Murid Belajar Di Sekolah) 1998 itu akan terpakai bagi kemasukan ke sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

"Pindaan ini akan memastikan akses pendidikan disediakan kepada kanak-kanak dalam negara ini, berpandukan perundangan sedia ada tanpa kompromi terhadap aspek kedaulatan dan perlembagaan negara.

"...ia termasuk kanak-kanak bukan warganegara, berstatus kewarganegaraan belum ditentukan dan kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri yang selama ini tidak termasuk di bawah peraturan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung usul Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Fadhlina berkata, KPM juga sedang meneliti untuk membolehkan anak-anak pelarian mendaftarkan diri ke sekolah melalui pindaan itu.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM tidak akan bertolak ansur dan sentiasa proaktif menangani penyebaran ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sekolah.

Katanya, pelbagai program rentas kementerian berkaitan kesedaran dan pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif telah dilaksanakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian itu juga sentiasa memberi penekanan terhadap konsep ‘Karamah Insaniah’ dan ‘Anak Yang Baik Lagi Cerdik’ bagi membentuk akhlak, adab dan integriti pelajar di semua segmen pendidikan.

"Untuk makluman YB (Yang Berhormat), kita tidak kompromi dalam soal adab, akhlak dan juga budaya songsang,” tegasnya. - Bernama