Tikam rakan sebab gaji pungut sampah tidak adil

Seorang lelaki yang juga pekerja pembersihan cedera ditikam rakan. - Gambar hiasan
Seorang lelaki yang juga pekerja pembersihan cedera ditikam rakan. - Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG JAYA - Tidak puas hati gaji daripada hasil memungut sampah disyaki menjadi punca seorang lelaki warga asing ditikam sekumpulan rakan senegara di tepi Jalan Pandan Cahaya 2/2, Pandan Cahaya, di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga pekerja pembersihan ditikam pada jam 10 malam.

"Kejadian tersebut berlaku pada jam 9 malam ketika mangsa baru sahaja pulang daripada majlis kenduri rumah majikannya di Kampung Pandan dan terus ke Jalan Cahaya untuk memandu lori sampah.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa didatangi lima rakan sekerjanya lalu mencederakan pipi dan lengan kiri mangsa sehingga berdarah menggunakan pisau," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua suspek kemudian melarikan diri.

"Mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut," katanya.

Mohd Azam berkata, unit forensik dari Bukit Aman ke tempat kejadian dan menjumpai sepasang kasut dan sebilah pisau berhulu hitam serta empat kesan darah di atas jalan.

“Lima suspek berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah Flat di Taman Impian Warisan, Hulu Langat pada jam 5.10 petang, Sabtu," katanya.

Katanya, punca kejadian disebabkan isu tidak puas hati berkenaan gaji yang diterima hasil kerja memungut sampah yang tidak dibahagi sama rata.

“Hasil ujian air kencing ke atas lima lelaki berusia 23 hingga 27 tahun mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamin," katanya.

Menurutnya, kesemua mereka didapati tidak bekerja dan tiada rekod kesalahan lampau.

"Mereka direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.