Sindiket curi 'Catalytic Converter' kereta tumpas

Hussein (tengah) menunjukkan Catalytic Converter yang berjaya dirampas daripada dua suspek setelah ditangkap di sekitar Lembah Klang pada Ahad. Foto SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Hussein (tengah) menunjukkan Catalytic Converter yang berjaya dirampas daripada dua suspek setelah ditangkap di sekitar Lembah Klang pada Ahad. Foto SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan terdapat kerjasama melibatkan sindiket antarabangsa apabila jenayah mencuri tabung penapis sisa karbon kenderaan berjaya ditumpaskan baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, terdapat sindiket melibatkan warga tempatan melakukan jenayah mencuri tabung ekzos kenderaan yang dikenali sebagai 'Catalytic Converter', seterusnya menjual di pasaran antarabangsa seperti di Amerika Syarikat dan Jepun.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan dua suspek utama berusia 34 dan 43 tahun di dua lokasi berbeza di Petaling Jaya, Selangor serta Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Ahad.

"Dengan tertangkapnya dua suspek ini, kita yakin dapat melumpuhkan sindiket menjual komponen kereta ini ke pasaran luar negara.

"Polis juga masih lagi menyiasat modus operandi sindiket warga tempatan ini menjual di pasaran antarabangsa, selain melakukan siasatan lanjut bagi menangkap mereka yang terlibat," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, selain boleh menjual komponen tersebut di pasaran tempatan dengan mudah iaitu antara RM300 hingga RM600 bagi satu unit, Catalytic Converter mempunyai nilai tinggi di pasaran antarabangsa.

Jelas beliau, sisa toksik yang terdapat di dalam Catalytic Converter seperti rhodium, paladium serta platinum mempunyai nilai tinggi iaitu RM130 hingga RM350 untuk satu gram.

Kata beliau, sisa yang terdapat di dalam Catalytic Converter digunakan untuk industri elektronik, pergigian serta bidang perubatan iaitu membuat plate tulang yang patah.

Ekoran itu katanya, hasil soal siasat mendapati suspek mencuri komponen tersebut kerana terdapat permintaan menjualnya di pasaran luar negara dan mendapatkan wang tunai dengan mudah.

"Anggaran komponen ini boleh dijual di pasaran luar negara antara RM500 hingga RM2,500 bagi satu unit," ujarnya.

Hussein berkata, pihaknya merekodkan 46 kes kecurian peralatan tersebut pada 2021, manakala 34 kes pada 2022 dan sebanyak 16 kes untuk tempoh setengah tahun ini iaitu sehingga 17 Jun.

Beliau berkata, sindiket yang dipercayai bergiat aktif setahun lalu mensasarkan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan raya dan kawasan sunyi.

Kata beliau, sindiket dipercayai sangat mahir melakukan pemotongan komponen berharga itu kerana bekerja di kedai alat ganti kenderaan.

"Mereka ini dipercayai sangat pantas melakukan jenayah mencuri komponen ekzos kenderaan dan hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk memotongnya.

"Dengan hanya menaiki motosikal dan membawa gergasi besi, mereka bertindak memotong komponen yang diperlukan dengan cepat," jelas beliau.