Paras Empangan Bukit Merah susut, JPS Perak laksana catuan air

JPS Perak melaksanakan catuan air berikutan penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah. - Foto fail Bernama
JPS Perak melaksanakan catuan air berikutan penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah. - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaksanakan catuan air berikutan penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah.

Pengarahnya, Ahmad Shahrir Md Naziri berkata, catuan tersebut masih dijalankan memandangkan paras air di empangan itu kini berada pada aras kritikal pengairan tahap satu iaitu 6.965 meter (m).

"Setakat ini masih catuan pengairan, namun bekalan domestik bagi penduduk di daerah Kerian berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Semalam, kenyataan JPS daerah Kerian di laman media sosial rasminya memaklumkan paras air Empangan Bukit Merah berada pada aras kritikal pengairan tahap dua iaitu 6.706m serta mengharapkan supaya terdapat taburan hujan di kawasan tadahan bagi meningkatkan semula paras air empangan.

Sementara itu, JPS Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan status semasa menunjukkan terdapat taburan hujan di kawasan tadahan yang menyumbang kepada peningkatan paras air empangan tersebut.

Sehingga pagi tadi maklum JPS Perak, paras air Empangan Bukit Merah meningkat kepada 6.965m dengan storan 18.70 juta meter padu kembali kepada status Aras Kritikal Pengairan Tahap Satu.

"Ini bermaksud catuan pengairan dilaksanakan, namun tiada gangguan terhadap operasi bekalan air domestik," menurut kenyataan itu.

Selain itu, JPS memaklumkan berdasarkan ramalan 14 hari ke hadapan aras air Empangan Bukit Merah yang disediakan JPS Kerian, ia menunjukkan trend menurun menerusi ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan kurang hujan akan turun di sekitar kawasan empangan tersebut.

JPS Perak turut memaklumkan pihaknya telah membuat permohonan untuk pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) melalui Sekretariat Jawatankuasa Bencana Daerah Kerian kepada kerajaan negeri melalui surat bertarikh 1 Jun lepas.

Dalam pada itu, Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kenyataan berkata, pihak JPS masih menunggu kelulusan daripada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak berkenaan permohonan OPA itu.

"Bagi tindakan segera, pihak JPS dan IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) Kerian telah menempatkan pam-pam bergerak di lokasi yang kritikal bagi tujuan pengairan di kawasan bendang (pam kitar semula)," katanya. - Bernama