PM saran beri elaun munasabah kepada pelatih industri

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan syarikat menawarkan latihan industri untuk mempertimbangkan elaun munasabah kepada pelajar yang menjalani program berkenaan.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak memberi sebarang panduan terhadap perkara berkenaan, namun majikan perlu mempertimbangkan bayaran munasabah bagi membantu pelajar menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh latihan.

"Beberapa perkara yang disuarakan oleh anak muda dan mereka beri cadangan kepada Perdana Menteri dalam dialog. Saya beri pengakuan akan ambil pandangan mereka untuk dibawa ke Jemaah Menteri.

"Kita galakkan latihan industri kerana ia penting dan mereka faham bahawa latihan itu bukan pekerjaan biasa tetapi pendedahan.

"Tetapi berilah elaun yang munasabah kerana (ambil kira) tambang perjalanan (dan) makan. Saya bagi pihak anak muda nak sampaikan keluhan mereka untuk diberi pertimbangan mengenai bayaran elaun,” katanya ketika berucap melancarkan Program investED pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memberi jaminan kerajaan akan meneliti isu elaun untuk mahasiswa yang menjalani latihan industri atau 'intern' supaya mendapat pertimbangan sewajarnya ekoran pelatih tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma.

Perkara tersebut hangat diperkatakan di media sosial susulan seorang pelajar universiti awam meluahkan kebimbangannya untuk bertahan sepanjang menjalani latihan praktikal pada Oktober ini.

Pelajar wanita itu menyifatkan mereka bukan buruh percuma dan memaklumkan terdapat latihan industri menawarkan elaun dengan jumlah yang kecil malah ada juga yang tidak memberi sebarang bayaran.