Kerajaan Perpaduan yakin dapat undi Melayu

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

JOHOR BAHRU – “Dia yakin... kita pun yakin juga.”

Itu reaksi Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan gabungan berkenaan yakin mendapat sokongan 80 peratus daripada pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

Menurut pihaknya percaya orang Melayu semakin yakin dengan perjuangan UMNO yang tidak pernah mengetepikan asas-asas perjuangannya dalam soal kepentingan Melayu-Bumiputera, soal kepentingan Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Kesemua perkara ini merupakan perkara asas dalam perjuangan UMNO itu sendiri dan kalau kita tengok dalam konteks Kerajaan Perpaduan hari ini, peranan UMNO adalah untuk menjaga ‘pasak-pasak’ yang telah dibina sejak merdeka.

“Jadi, bila kita berada dalam Kerajaan Perpaduan, majoriti ahli-ahli Parlimen adalah beragama Islam... 76 ahli Parlimen beragama Islam berbanding 32 manakala di kabinet pula 19 menteri beragama Islam berbanding sembilan bukan beragama Islam.

“Jadi tanggapan seolah-olah kedudukan Islam, kepentingan Melayu Bumiputera terancam hanyalah tohmahan. Yang mereka tahu, kalau mereka tak dapat sokongan bangsa Melayu dan bangsa lain dalam konteks ini mereka akan mudah kecundang pada pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media sempena program Walkabout Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ke Karnival Institusi Pendidikan MARA Negeri Johor @ Plaza Larkin, pada Ahad.

Sementara itu, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi MARA berkata, perkara berkenaan boleh dalam konteks dan penubuhan MARA itu sendiri yang bertujuan untuk menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera termasuk membangunkan sosioekonomi kedua-duanya.

Malah, katanya, penubuhan MARA itu sendiri memberikan fokus kepada pendidikan, keselamatan.

“Semua ini ada sebab mengapa pengerusinya Setiausaha Agung UMNO..melainkan Setiausaha Agung DAP dilantik sebagai Pengerusi MARA.

“Jadi, itu tak berlaku. Bermakna apa? Bermakna perjuangan UMNO dalam konteks Kerajaan Perpaduan ini adalah untuk pastikan agenda Islam, agenda bumiputera Melayu terus dipertahankan dalam realiti kemajmukan dan rakyat yang berbilang kaum agama.

“Kita tak boleh pergi kepada model PN kerana model PN hanya lihat Melayu sahaja, tapi model Kerajaan Perpaduan adalah model daripada kesinambungan Perikatan 1957, BN 1974 dan hari ini 19 parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan adalah daripada pelbagai agama, bangsa, wilayah Sabah, Sarawak, ras dan suku etnik, tapi tunjang akarnya masih lagi Melayu Islam.

"Siapa yang menjaga dan memeliharanya? Sudah tentu UMNO yang terasnya memelihara kepentingan Islam Melayu tanpa kita melupakan atau meninggalkan kaum atau agama-agama lain,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!