Samun kedai guna pedang samurai

Perbuatan suspek berjaya dirakam CCTV di salah sebuah kedai serbaneka. (Kanan: Pedang samurai yang dirampas polis dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan samun)
Perbuatan suspek berjaya dirakam CCTV di salah sebuah kedai serbaneka. (Kanan: Pedang samurai yang dirampas polis dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan samun)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tindakan licik seorang penyamun yang menjadikan kedai serbaneka 24 jam sebagai sasaran untuk merompak akhirnya mengundang padah apabila dia diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah Flat Ampang Jajar, di sini petang semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 5 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), lelaki berusia 23 tahun itu ditahan bersama sebilah pedang samurai yang digunakan untuk kegiatan samun.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, terdahulu pihaknya menerima empat laporan mengenai kejadian samun yang dilakukan oleh suspek kurang dalam masa 48 jam.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku di kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Butterworth-Kulim Ekspressway (BKE) kira-kira jam 8 pagi Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, suspek meminta tiga kotak daripada juruwang kedai serbaneka terbabit namun enggan membayar sebelum melarikan diri.

"Kejadian kedua pula berlaku pada jam 12.30 tengah malam pada hari Khamis di sebuah kedai serbaneka di Jalan Jelawat Seberang Jaya apabila suspek kononnya mahu membeli 30 kotak rokok.

"Bagaimanapun juruwang kedai serbaneka berkenaan berasa curiga dengan permintaan lelaki itu kerana melihat perlakuannya yang mencurigakan. Pengadu juga terlihat satu objek menyerupai pedang samurai yang disorok di belakang badannya," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, apabila lelaki itu melihat juruwang itu sedang merenungnya suspek berkenaan cuba untuk mengambil pedang samurai yang disorokkan di dalam baju namun tidak berjaya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek terbabit kemudiannya terus keluar dari kedai dan juruwang terbabit kemudiannya masuk ke dalam bilik staff untuk menghubungi polis.

Beliau berkata, suspek berkenaan masuk semula ke dalam premis terbabit namun melihat juruwang terbabit sedang menelefon seseorang sebelum bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

"Dalam kejadian ketiga yang berlaku kira-kira jam 1 pagi, suspek berkenaan berjaya menyamun di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Pauh di sini dengan melarikan 40 kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM36.

"Suspek sama juga dipercayai terlibat menyamun sebuah lagi kedai di Taman Chai Leng dengan membawa lari 75 kotak rokok berserta wang tunai berjumlah RM161 pada hari yang sama," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, hasil maklumat dan risikan serta penelitian daripada kamera litar tertutup (CCTV) di semua premis yang terlibat, pihak berjaya mengesan suspek berkenaan.

Tambahnya, semakan yang dibuat mendapati suspek terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau dan satu rekod dadah.

"Selain pedang samurai, kita turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegitan jenayah.

"Hasil soal siasat dia juga mengaku terlibat dengan empat kejadian samun berkenaan.Suspek kini direman selama empat hari dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata," katanya.