Bagan Datuk dicadang daerah agrolancong

Rohani (dua kanan) bersama melihat Azizan (tengah) memegang buku draf rancangan ketika majlis perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035 di Waterfront Bagan Datuk, di sini hari ini.
Rohani (dua kanan) bersama melihat Azizan (tengah) memegang buku draf rancangan ketika majlis perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035 di Waterfront Bagan Datuk, di sini hari ini.
A
A
A

BAGAN DATUK - [DIKEMASKINI] Draf Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035 akan dipamerkan sebulan untuk orang ramai bermula 2 Mei sehingga 2 Jun.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan PLANMalaysia, Rohani Md Hashim berkata, Pejabat MPTI, Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk dan pejabat PLANMalaysia@Perak di Ipoh menjadi tapak pameran.

"Sebelum suatu draf rancangan tempatan dilulus dan diwartakan ia perlu dihebahkan di mana orang awam atau mana-mana jabatan atau agensi diberi peluang menyuarakan pendapat.

"Pendapat yang mereka boleh suarakan itu adalah dalam bentuk ulasan, cadangan atau bantahan terhadap draf rancangan tambahan yang di sediakan ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035, di Waterfront Bagan Datuk, di sini hari ini.

Menurutnya, penyediaan Draf Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035 adalah selaras dengan peruntukan seksyen 12 Akta 172, dengan kos RM700,000.00 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

"Penyediaan draf itu juga disediakan oleh Pasukan Kajian yang terdiri daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), PLANMalaysia@Perak, Pejabat Projek Zon Tengah, PLANMalaysia dan pihak perunding yang dilantik iaitu IZM Consult.

"Selain itu, penyediaan draf ini juga telah mendapat kerjasama serta input daripada pelbagai jabatan dan agensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah bagi setiap peringkat laporan," katanya.

Rohani berkata, lima teras pembangunan digariskan untuk mencapai matlamat tersebut dengan fokus kepada sektor perikanan, pertanian dan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yang Dipertua MPTI, Azizan Abd Muin mengalu-alukan penduduk Bagan Datuk khususnya dan Perak amnya bersama-sama hadir pada pameran yang diadakan dan memberi cadangan serta pendapat masing-masing.

"Pandangan orang ramai terutamanya penduduk Bagan Datuk amat penting kepada Pasukan Kajian untuk menambah baik bagi memperkukuh hala tuju pembangunan daerah Bagan Datuk sebagai daerah agrolancong dan Maritim Wilayah Perak Selatan," katanya.