RUU Keselamatan Siber bantu elak pertindihan kuasa

Rang Undang-Undang Keselamatan Siber perlu digubal bagi membantu Malaysia menghadapi, menangani risiko dan mengurangkan jumlah ancaman serta serangan siber negara. - Gambar hiasan
Rang Undang-Undang Keselamatan Siber perlu digubal bagi membantu Malaysia menghadapi, menangani risiko dan mengurangkan jumlah ancaman serta serangan siber negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dijangka berupaya memastikan sebarang isu dan kelompongan dalam undang-undang berkaitan yang sedia ada dapat diperkemaskan, serta mengelak wujudnya jurang atau pertindihan dalam aspek penguatkuasaan dan pemantauan.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, ia juga dapat meningkatkan kemampuan serta mengukuhkan ekosistem keselamatan siber di Malaysia secara menyeluruh untuk memastikan keselamatan, keamanan dan kemakmuran negara sentiasa terjamin.

"Dalam hal ini, CyberSecurity Malaysia berpendapat Rang Undang-Undang Keselamatan Siber perlu digubal bagi membantu Malaysia menghadapi, menangani risiko dan mengurangkan jumlah ancaman serta serangan siber negara," katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Jumaat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara memutuskan agar rang undang-undang berkenaan digubal segera, bagi memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.

Anwar berkata, rang undang-undang itu akan memberi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber, serta menambah baik keberkesanan fungsi agensi tersebut.

Beliau berkata, penggubalan itu juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani masalah dan ancaman keselamatan siber, selain diharap dapat membantu kerajaan dalam menguatkuasakan tindakan untuk mengurangkan jenayah siber di negara ini

"Rang undang-undang ini bukan sahaja berkesan secara responsif terhadap insiden keselamatan siber, malah dapat digunakan secara proaktif seperti memberi kesedaran dalam kalangan orang ramai dan organisasi.

"Ini dapat membantu kesediaan dan daya tahan negara terhadap sebarang serangan siber," katanya.

Menurutnya, penggubalan rang undang-undang itu juga dijangka berupaya membantu organisasi mengenal pasti keperluan dan jurang keselamatan siber melalui garis panduan serta piawaian yang perlu diikuti dan diterima pakai di peringkat global.

Katanya, ia bagi memastikan organisasi mematuhi peraturan yang ditetapkan, aktiviti pemantauan dan pengauditan terutamanya yang melibatkan sektor kritikal negara perlu dimasukkan dalam akta berkenaan.

"Selain itu, melalui rang undang-undang ini juga persijilan ke atas produk digital juga dapat dikuatkuasakan bagi memastikan sesuatu produk mempunyai ciri-ciri keselamatan siber yang diiktiraf mengikut amalan terbaik dan garis panduan antarabangsa.

"Persijilan ini membantu menentukan bahawa produk digital selamat digunakan dan tidak mudah dikompromi," katanya. - Bernama