PRN: PDRM pantau media sosial

Hazani
Hazani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau sebarang provokasi dan komen-komen berunsur hasutan di media sosial pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati mengeluarkan kenyataan membabitkan unsur 3R iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race).

"Kita akan memantau 'cyber war' serta isu 3R di laman sosial, saya percaya rakyat Malaysia berdisplin. Justeru pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa menjaga kesopanan dan tidak melampaui batas ketika memberikan pandangan serta membuat sebarang ulasan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Hazani berkata, PDRM juga akan mengatur gerak pasukan Op Cantas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses PRN.

"Jabatan Siasatan Jenayah juga sudah ada pasukan yang terlibat dalam Op Cantas tersebut. PDRM bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan pemantauan dalam memastikan proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, anggota dan pegawai dari kontinjen lain juga akan membantu dalam PRN yang membabitkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan.

"PDRM sentiasa komited dalam memastikan situasi keselamatan terkawal sepanjang tempoh PRN tersebut," ujarnya.

Pada Selasa, media melaporkan polis telah mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri terlibat dengan PRN.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, daripada jumlah itu, Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi, diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16, serta dua lokasi di Pulau Pinang.

Beliau berkata, lokasi berkenaan dikategorikan sebagai kawasan panas kerana dilihat berpotensi untuk tercetusnya provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Justeru bagi memastikan kelancaran PRN, beliau berkata polis melancarkan Op PRN 6N yang akan memfokuskan kepada aspek keselamatan pengundi, tempat pengundian dan tempat penjumlahan undi.