TVET perlu jadi pilihan utama lepasan SPM

Mustapha (tiga dari kanan) melihat Aminuddin ( tiga dari kiri) mencuba dron ketika melawat Karnival Madani TVET di Institut Latihan Perindustrian Pedas pada Jumaat.
Mustapha (tiga dari kanan) melihat Aminuddin ( tiga dari kiri) mencuba dron ketika melawat Karnival Madani TVET di Institut Latihan Perindustrian Pedas pada Jumaat.
A
A
A

REMBAU - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran perlu dijadikan pilihan utama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) yang ingin melanjutkan pengajian dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM akan melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang tahun 2025.

"Hasrat kerajaan juga dapat melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030 sebagai mana digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12

"Banyak ruang-ruang yang boleh diterokai ibu bapa dan pelajar dalam bidang TVET dan kita juga bagi keyakinan kepada ibu bapa yang kebolehpasaran graduan TVET sangat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival TVET Madani, Jom Pilih Kemahiran di Institut Latihan Perindustrian Pedas dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Menurut Mustapha, sekurang-kurangnya 90 peratus graduan TVET dijamin mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Ujarnya, terdapat pelbagai bidang kemahiran ditawarkan dan disebabkan itu tidak sepatutnya timbul isu ada yang tercicir menyambung pengajian.

"Kerisauan yang kita hadapi sekarang bila data menunjukkan ada antara anak-anak tidak mahu duduki SPM dan selepas SPM tidak mahu melanjutkan pengajian.

"Ini jadi perbahasan di Parlimen. Jadi saya minta ibu bapa dapat fikirkan TVET ini jadi satu latihan dan pendidikan yang boleh menjamin masa depan anak-anak kita," ujarnya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan komited dalam memperkasakan bidang TVET yang menjadi kunci utama kepada peningkatan kualiti dan produktiviti dalam semua sektor ekonomi di era Revolusi Industri 4.0, malah era Revolusi Industri 5.0.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25.9 juta dalam inisiatif untuk menaik taraf Kolej Yayasan Negeri Sembilan sebagai institusi TVET yang setaraf dan setanding di peringkat nasional.

"Menyedari perlunya diwujudkan jaringan muafakat penyelarasan di antara pelbagai sektor berkaitan TVET di negeri ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis TVET Negeri Sembilan.

"Inisiatif ini akan diterajui oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Sudah pasti, dengan penubuhan majlis perundingan ini akan dapat melonjakkan pencapaian landskap TVET di Negeri Sembilan dalam masa terdekat," katanya.