Pembantu laut didenda RM7,000 terima rasuah

Shuhaimi ( tiga dari kanan) berada di luar Mahkamah Sesyen bersama ahli keluarganya sebelum mendengar perbicaraannya pada Khamis.
Shuhaimi ( tiga dari kanan) berada di luar Mahkamah Sesyen bersama ahli keluarganya sebelum mendengar perbicaraannya pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pembantu laut Pejabat Perikanan Negeri Perlis didenda RM7,000 di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM2,100 antara Disember 2018 hingga Jun 2019.

Tertuduh, Shuhaimi Ahmad, 44, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM200 bagi setiap pertuduhan manakala wang tunai RM300 bagi pertuduhan kesepuluh.

Kesemua wang tunai berkenaan diterima daripada dua individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya sebagai pembantu laut.

Dia didakwa melakukan kesalahan-kesalahan terbabit di sebuah cawangan bank di Sungai Petani antara 2 Disember 2018 hingga 26 Jun 2019.

Semua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam sesi rayuannya, Shuhaimi memohon agar dikenakan hukuman yang ringan kerana perlu menyara seorang isteri dan lima anak selain berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya di masa hadapan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nurul Atiqah Mohamad Alias meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kes itu mempunyai kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Tertuduh kemudiannya difahamkan membayar denda ditetapkan itu.