Trafik di sempadan semakin lancar, Johor terima pelaburan tambahan

Onn Hafiz - Foto Bernama
Onn Hafiz - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Aliran trafik yang semakin lancar antara Malaysia dan Singapura di Tambak Johor dan Linkedua menjadi faktor negeri ini menerima pelaburan tambahan daripada syarikat terkemuka di China.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, syarikat alat ganti perabot pintar, JStar Motion yang telah membuka kilangnya di Johor akan menambah pelaburan RM100 juta di negeri ini.

"Mereka telah menyatakan penghargaan kerana aliran trafik antara Johor dan Singapura semakin lancar. Pelaburan sebanyak RM100 juta akan ditambah selain menggalakkan pembekal membuka perniagaan di negeri ini.

"Isu kesesakan lalu lintas sempadan Malaysia dan Singapura yang diselesaikan secara konsisten, mampu mengatasi kekangan pelabur dan pelancong untuk masuk ke Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, bagi memastikan isu kesesakan sempadan Malaysia dan Singapura diselesaikan, beliau telah turun padang sebanyak 60 kali di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 14 kali di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

"Dianggarkan 300,000 rakyat Malaysia menggunakan kedua-dua laluan ini hampir setiap hari demi mencari sesuap nasi. Ini bermakna, secara tidak langsung, isu ini memberikan kesan kepada 1.2 juta Bangsa Johor, iaitu 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Johor.

"Kerajaan negeri memberi penekanan kepada isu kesesakan di kedua-dua CIQ ini adalah kerana kesannya kepada ekonomi negeri Johor dan Malaysia keseluruhannya," katanya.