Aura 'bossku' kembali hangat diperkatakan

Slogan Malu Apa Bossku yang dicipta Najib selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14 masih menjadi sebutan dalam kalangan pemimpin dan rakyat sehingga ke hari ini.
Slogan Malu Apa Bossku yang dicipta Najib selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14 masih menjadi sebutan dalam kalangan pemimpin dan rakyat sehingga ke hari ini.
A
A
A

NAMA bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali 'hangat' diperkatakan meskipun beliau kini sedang menjalani hukuman penjar selepas didapati bersalah atas pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Walaupun kini berada di sebalik tirai besi, namun aura 'bossku' masih menjadi sebutan dalam kalangan pemimpin dan rakyat sehingga ke hari ini.

Pada Rabu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membebaskan Najib sekiranya merasakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak bersalah daripada terus menyalahkan kerajaan terdahulu.

Razali berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid mempunyai kuasa untuk berunding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri untuk rayuan pengampunan.

Bagaimanapun, Razali mendakwa, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebenarnya tidak berbuat sedemikian kerana ‘takut’ dengan aura Najib jika bekas Perdana Menteri berkenaan dibebaskan.

Malah Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim pula menggesa kerajaan supaya membebaskan Najib yang kini berada dalam penjara.

Menurut Zaid, pembebasan Najib itu penting kerana beliau merupakan tulang belakang kepada UMNO.

Jelas Zaid, sekiranya bekas Presiden UMNO tersebut berjaya dilepaskan, ia mampu membantu memperkuat dan memberi kemenangan terhadap pimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi gelombang pihak lawan.

Namun tidak dinafikan sebelum ini aura Najib dilihat membantu Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 2019.

Ahmad Zahid menyatakan pemenjaraan Najib tidak akan sesekali menamatkan aura ‘bossku’ beliau selain melemahkan kekuatan BN. - Foto fail Bernama
Ahmad Zahid menyatakan pemenjaraan Najib tidak akan sesekali menamatkan aura ‘bossku’ beliau selain melemahkan kekuatan BN. - Foto fail Bernama

Ini disebabkan aura bekas Perdana Menteri tersebut masih dirasai oleh penduduk setempat selain kehadiran Najib yang turun padang membantu kempen PRK antara faktor yang membantu BN mengekalkan kerusi Cameron Highlands.

Pada September lepas, Ahmad Zahid menyatakan pemenjaraan Najib tidak akan sesekali menamatkan aura ‘bossku’ beliau selain melemahkan kekuatan BN.

Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, gabungan tersebut akan terus mara di samping jasa dan budi Najib tetap tersemat rapi dalam sanubari anggota masyarakat yang mula mengetahui kebenaran sebenar.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, adalah mustahil untuk lawan BN melenyapkan aura ‘bossku' tersebut memandangkan istilah sebenar slogan ‘Bossku’ adalah 'Rakyat jadi bos kita'.

Meskipun Najib kini kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang namun aura 'boosku' masih lagi menjadi perdebatan serta perbualan hangat daripada pelbagai pihak baik dari parti kerajaan mahupun pembangkang.

Baru-baru ini juga nama bekas Ahli Parlimen Pekan dan laungan 'Bossku' bergema sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka ketika ucapan Ahmad Zahid.

Tambahan pula, tidak dinafikan jasa bekas Perdana Menteri itu masih tetap dikenang oleh masyarakat di negara ini terutama bagi golongan yang pernah menerima pelbagai bantuan kerajaan semasa era pentadbiran beliau pada masa dahulu.