Didakwa takut aura 'bossku', Zahid dicabar bebaskan Najib

Laporan Sinar Harian pada April lalu.
Laporan Sinar Harian pada April lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar untuk membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak jika merasakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak bersalah, daripada terus menyalahkan kerajaan terdahulu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid mempunyai kuasa untuk berunding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri untuk rayuan pengampunan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebenarnya tidak berbuat sedemikian kerana ‘takut’ dengan aura Najib jika bekas Perdana Menteri itu dibebaskan.

“Saya tidak faham mengapa Ahmad Zahid berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu kerana mereka telah melaksanakan tugas sebaik mungkin dan mahkamah juga memutuskan beliau bersalah dan dipenjarakan.

“Tapi sebagai rakyat Malaysia, Najib bebas untuk buat permohonan pengampunan diraja. Sekarang ini, semuanya atas kehendak atau kebijaksanaan Perdana Menteri dan Ahmad Zahid untuk berjuang melepaskan Najib.

“Kita bersetuju kalau Najib dilepaskan kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran antara UMNO dan PH (Pakatan Harapan). Jadi, saya alu-alukan kalau UMNO mendesak Ahmad Zahid supaya mencari jalan untuk melepaskan Najib,” katanya kepada Sinar Harian.

Razali secara sinis menambah, jika Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail boleh menggunakan kuasanya dalam pengecualian undang-undang terhadap UMNO, tindakan yang sama boleh dilakukan terhadap kes Najib.

“Kalau Perlembagaan UMNO dia (kerajaan) boleh batal, apatah lagi nak lepaskan Najib. Tapi, kita nampak Ahmad Zahid cuba elak dan tak nak lepaskan beliau kerana takut Najib akan kembali berkuasa,” dakwanya.

Pada 7 April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan bagi bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO.

Semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang berlangsung pada 7 hingga 10 Jun lalu, ramai perwakilan dan pemimpin UMNO meluahkan kerinduan dan menuntut pembebasan Najib, malah laungan takbir dan 'Bebaskan Bossku' bergema di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia tanda solidariti terhadap bekas presiden parti itu.