Durian bukan lagi T20

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JIKA dulu, setiap kali tiba musim raja buah pasti ada pengguna mengeluh, apabila merasakan tidak mampu membeli durian disebabkan harga terlalu tinggi.

Kita boleh membaca pelbagai posting daripada warganet perihal harga durian di laman sosial.

Ramai dalam kalangan mereka mengelar raja buah itu sebagai harga mampu tengok, harga T20 dan seumpamanya.

Tidak kurang juga yang menyindir dengan menyatakan durian ditanam di tanah Malaysia tetapi harga Yahudi.

Macam-macam persepsi orang ramai terhadap peniaga dek kerana harga durian dijual mencecah puluhan hingga ratusan ringgit sekilogram.

Tidak hairanlah mengapa ramai yang melabelkan durian jenis musang king, teka, udang merah, IOI, durian hijau, duri hitam, D24, sebagai buah kayangan.

Kini, durian kayangan itu sudah boleh dinikmati kerana harga bukan lagi masalah utama kepada penggemar raja buah itu.

Perkara ini dibuktikan hasil tinjauan Sinar Harian pada bulan ini, mendapati harga durian merudum sehingga 20 hingga 30 peratus disebabkan lambakan raja buah itu.

Harga musang king kini dijual RM15 hingga RM35 sekilogram (mengikut gred), IOI pula dijual pada harga RM15 hingga RM20 manakala Teka pada harga sekitar RM30 hingga RM45 sekilogram manakala Udang Merah pula RM22 sekilogram.

Bagi, durian kampung kahwin pula antara RM15 hingga RM20 dan durian kampung pelbagai gred dijual pada harga RM4 hingga RM6 sekilogram.

Dengan harga yang dilihat marhaen ini, dapat dilihat rata-rata peniaga bijak menarik perhatian kaki durian yang sememangnya menantikan musim ini dengan tawaran harga menarik.

Tengok sahaja papan tanda iklan, ada juga yang menawarkan harga tidak masuk akal, jadinya berbakul-bakul penjualan durian boleh habis dalam tempoh satu malam.

Betapa untungnya pembeli dapat menikmatinya disebabkan durian harga kayangan kini sudah jadi harga mampu milik untuk semua.

Ada peniaga menawarkan harga durian Rahmah bagi melariskan jualan untuk mengelak daripada rosak susulan lambakan buah tempatan itu yang dikatakan berpunca daripada pengeluaran serentak di beberapa negeri.

Bahkan penggemar durian di negara ini boleh menikmati raja buah berkenaan untuk tempoh lebih lama lagi kerana musimnya dijangka lebih panjang berbanding tahun-tahun sebelum, dijangka berterusan sehingga pertengahan Oktober depan.

Ini berikutan keadaan cuaca panas yang melanda menyebabkan pokok durian mudah berbunga, selain hasil yang dikeluarkan lebih banyak bagi setiap pokok. Ada juga mengatakan durian China juga menjadi faktor lambakan.

Susulan itu, peniaga durian, Mohd Faris Idris, 36, di Jalan Tangkak-Muar Sungai Mati, Johor menawarkan RM50 sebakul kepada penggemar raja buah untuk menikmati pelbagai jenis durian termasuk Musang King, IOI dan B13.

Peniaga, Sahrizan Abd Jabbar, 41, dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan pula mengakui pengeluaran durian pada musim ini melebihi permintaan sekali gus menyebabkan ada peniaga bertindak ‘buang harga'.

“Kali ini durian kita ‘banjir’. Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan keluarkan hasil serentak pula.

"Boleh dikatakan jualan agak merosot sedikit berbanding tahun lalu pada bulan yang sama,” demikian kongsi Sahrizan bagi menggambarkan lambakan durian yang berlaku pada ketika ini.

Disebabkan lambakan itu juga, ada peniaga mengambil inisiatif dengan menawarkan keistimewaan lain sebagai cara supaya durian jualan mereka dapat dihabiskan sekali gus tidak berdepan kerugian.

Peniaga dari Kuantan misalnya sanggup menyediakan 90 kilogram (kg) pulut bersama santan untuk dimakan dengan pelbagai jenis durian kepada pelanggan yang membeli raja buah itu di gerainya di Jalan Gambang-Kuantan.

Mohd Kamarul Hafsan memberikan pulut percuma kepada pelanggan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bagi menarik orang ramai membeli durian miliknya.

Begitulah kisah dan kaedah peniaga kita dalam usaha untuk melariskan jualan raja buah dan tawaran murah pada harga pelbagai jenis durian bagaikan bonus untuk penggemar pada musim kali ini.

Jadi pada musim ini, boleh dikatakan bahawa durian bukan lagi dalam golongan T20 kerana setiap lapisan masyarakat boleh menikmatinya.

Ini juga masa yang baik buat orang ramai menikmati durian tanpa risaukan isi di dompet mereka.

* Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang