Ahmad Zahid dapat kebenaran khas lawat Najib di Penjara Kajang

Saifuddin Nasution ketika sidang media selepas Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution ketika sidang media selepas Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapat kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Penjara Malaysia untuk mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.



Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lawatan itu dibenarkan mengikut Peraturan 86 Bahagian 10 Peraturan Penjara 2000.

Ujarnya, pertemuan antara Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Najib itu juga dalam maklumannya.

“Kebenaran khas (boleh diberikan) sama ada oleh Ketua Pengarah Penjara atau saya. Ketua Pengarah Penjara (ada) maklum kepada saya, kemudian proses seterusnya diberikan olehnya (Ketua Pengarah Penjara).

“Itu sahaja, tiada masalah, yang penting dia notify (maklumkan) saya dan saya maklum (tetapi) soal macam mana dia maklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, itu proses seterusnya.



“Nanti (ada) tanya siapa pula yang buat surat itu? Panjang ceritanya. Jadi, cukuplah bahawa Perkara 86 sebut kebenaran khas, cukuplah (penerangan itu),” katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini pada, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi lawatan Ahmad Zahid ke Penjara Kajang bagi melawat Najib.

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) minggu lalu, Ahmad Zahid mendedahkan beliau telah bertemu Najib.

Selain melawat, Ahmad Zahid turut berkesempatan bersarapan makanan kegemaran bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Susulan pendedahan dibuat itu, pelbagai pihak memberi reaksi kurang senang dengan tindakan yang disifatkan wujud pilih kasih.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tempoh lawatan dan membawa makanan dari luar juga bergantung pada budi bicara pihak penjara.

“Tiada seorang pun pelawat dibenarkan membawa masuk apa-apa makanan dari luar, melainkan jika dibenarkan oleh pegawai yang menjaga ketika itu,” katanya.