Bekas kontraktor didakwa kemuka dokumen palsu mesin perah susu

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tujuh pertuduhan mengemukakan pesanan penghantaran dan invois mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan mesin pemerah susu serta lembu bernilai RM3.7 juta.

A Dominic Antoni, 52, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa mengemukakan dua pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu kepada penolong pegawai veterinar membabitkan pembekalan bekas pemerah susu dan mesin penyejuk susu lembu bernilai RM1.55 juta sedangkan ia tidak pernah dibekalkan.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa mengemukakan pesanan penghantaran dan invois yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan 441 lembu yang mana 171 lembu daripadanya bernilai RM1.96 juta tidak pernah disediakan.

Pertuduhan ketujuh pula, tertuduh didakwa mengemukakan pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan tempat memerah susu bernilai RM350,000 padahal ia tidak dibekalkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia di Wisma Tani, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, antara 16 April 2015 dan 5 September 2017.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(2) akta sama, membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat sementara tertuduh diwakili peguam, Karthigesan Shanmugam.

Semasa prosiding, Irwan Shah mencadangkan, tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah sekali sebulan.

Bagaimanapun, Karthigesan yang merayu agar kadar itu dikurangkan kerana Dominic tidak mempunyai pekerjaan tetap dan melakukan kerja rencam.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di ibu pejabat SPRM Sungai Petani, setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

End