Kastam beri imbuhan kepada orang awam salur maklumat jenayah

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyediakan imbuhan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah termasuk aktiviti sindiket pengedaran dadah yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit bahan terlarang itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, imbuhan atau hadiah tertentu diberikan sekiranya maklumat itu berjaya membawa kepada kejayaan penangkapan sindiket atau individu tertentu.

"Pemberi maklumat diberikan hadiah tertentu dan kita akan teruskan pemberian hadiah kepada pemberi maklumat... jumlah tertentu diberi kepada pemberi maklumat jika terdapat tangkapan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Pematuhan ‘Authorized Economic Operator’ (AEO) Bersepadu Peringkat Nasional Bil. 01/2023 di sini pada Selasa.

Semalam, media melaporkan JKDM merampas 454 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM70 juta dalam tiga serbuan di Pelabuhan Klang dan Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang awal bulan ini hasil maklumat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Arab Saudi.

Ahmad merakamkan penghargaan kepada KDN Arab Saudi yang menyalurkan maklumat mengenai kontena mengandungi dadah dari Brazil yang menuju ke India tetapi singgah di Malaysia itu.

Mengenai kes penyeludupan dadah melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia, Ahmad berkata, ia adalah sesuatu yang memeranjatkan dan memberikan nama yang tidak baik kepada Malaysia di peringkat perkastaman dunia.

"Kerajaan pandang serius di mana kelemahan yang menyebabkan perkara itu berlaku,” katanya dan menambah JKDM perlu meningkatkan aktiviti pemantauan, pengintipan serta perkongsian maklumat bagi membanteras kegiatan sindiket pengedaran dadah melalui negara ini.

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Australia merampas 336 kg heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lepas.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan dilaporkan berkata Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500kg.

Ditanya adakah anggota JKDM mencukupi ketika ini, beliau berkata, beberapa Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) memerlukan penambahan anggota seperti di Sabah, Sarawak dan Johor, namun setakat ini perkara itu tidak menjejaskan operasi.

Mengenai AEO, Ahmad berkata, sebanyak 136 buah syarikat telah mendapatkan akreditasi AEO daripada JKDM sejak 2022 hingga Mei tahun ini.

"JKDM menyasarkan sebanyak 41 syarikat baharu akan dapat diiktiraf sebagai AEO tahun ini. Saya gesa syarikat di luar secara sukarela sertai AEO,” katanya.

Program AEO Nasional bertujuan memudah cara mekanisme pelepasan dagangan menerusi fasilitasi perdagangan secara bersepadu, memupuk tadbir urus lebih telus pihak berkepentingan serta memastikan pembayaran duti serta cukai yang lebih tepat untuk meningkatkan pungutan hasil negara.

Program itu diperkenalkan oleh Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) pada 2005 dan dilaksanakan oleh JKDM mulai 2010. - Bernama