Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin. - Gambar hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, berikutan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 13 dan 14 Jun.

Pada 9.08 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.6155/6185 berbanding dolar AS daripada 4.6115/6160 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata,konsensus pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan Kadar Dana Fed tidak berubah pada 5.25 peratus.

Sebelum mesyuarat itu diadakan, kadar inflasi AS bagi Mei akan dikeluarkan dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) diunjurkan menjadi sederhana 4.2 peratus daripada 4.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya manakala IHP dijangka meningkat 5.6 peratus daripada 5.5 peratus pada April.

"Memandangkan paras kadar inflasi yang tinggi, peserta pasaran berhati-hati dan sejajar dengan itu, dolar AS-ringgit mungkin terus berada pada julat RM4.61 hari ini.

"Walaupun Fed mungkin menghentikan sementara (kenaikan kadar), persoalan penting kini adalah perkara yang akan menjadi penilaian terbaharu mereka mengenai ekonomi, memandangkan aspek mata data menunjukkan aliran terus perlahan pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berpandangan perkara itu yang mengganggu pasaran kerana mesyuarat ini akan dianggap (yang akan memutuskan mengenai) penghentian sementara (bagi kenaikan kadar).

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.8035/8073 daripada 5.7819/7875 ketika ditutup pada Jumaat lepas serta rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3110/3131 daripada 3.3022/3059.

Walau bagaimanapun, ringgit lemah berbanding euro kepada 4.9584/9617 daripada 4.9611/9659.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang negara Asean lain.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4354/4379 daripada 3.4294/4330 pada Jumaat serta susut berbanding baht Thailand kepada 13.3303/3452 daripada 13.3196/3376.

Unit domestik juga lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 310.9/311.3 daripada 310.9/311.3 semasa penutupan pada Jumaat lepas serta tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.23/8.25 berbanding 8.23/8.24. - Bernama