Enam bulan hilang di Makkah, Cikgu Musthafa disahkan meninggal dunia

Bapa kepada lima anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas disedari tiada di bilik hotel di Makkah. Gambar kecil: Muhammad Nabel menunjukkan gambar ayahnya, Allahyarham Musthafa Kamal ketika menunaikan umrah pada Disember tahun lalu.
Bapa kepada lima anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas disedari tiada di bilik hotel di Makkah. Gambar kecil: Muhammad Nabel menunjukkan gambar ayahnya, Allahyarham Musthafa Kamal ketika menunaikan umrah pada Disember tahun lalu.
A
A
A

BATU PAHAT - Penantian selama enam bulan keluarga Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah berakhir apabila mendapat perkhabaran jemaah berkenaan disahkan meninggal dunia oleh Kedutaaan Malaysia.

Anaknya, Muhammad Nabel, 26, berkata, walaupun berat ujian diterima namun dia sekeluarga tetap reda dengan pemergian ayah yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja.

"Saya sebak apabila dihubungi Kedutaan Malaysia pagi 11.40 pagi Jumaat memaklumkan berita kematian ayah di Makkah.

Saya terus memaklumkan kepada ibu, Zurina Muhammad@Shamsuddin, 49 dan empat orang adik.

"Saya diberitahu oleh pihak kedutaan di sana yang ayah sebenarnya telah meninggal dunia pada 13 Februari lepas, melalui pengesahan biometrik dan segala pengurusan jenazah telah selesai, termasuk pengebumiannya," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Sri Gading, di sini pada Sabtu.

Pada 6 Disember tahun lalu, Musthafa Kamal berangkat menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz, 17, dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, bapa kepada lima anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel di Makkah.

Seterusnya pada 20 Januari lalu Muhammad Nabil, 26 dan Muaz, 17, berangkat ke Makkah untuk mencari bapa mereka, namun usaha berkenaan gagal.

Muhammad Nabel menjelaskan, selain menunggu dokumen pengesahan kematian, mereka sekeluarga juga menunggu punca kematian dan lokasi Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir.

Dia yang bertugas di Pejabat Kadi Batu Pahat, berhasrat membawa ibu dan empat adiknya untuk menziarahi pusara arwah ayahnya yang disemadikan di sebuah tanah perkuburan di Makkah dalam masa terdekat.

“Saya menganggap kejadian ini mempunyai hikmah dan ayah meninggal dunia dalam keadaan yang baik (berihram) serta di dalam bulan yang baik (Rejab).

"Saya berharap dapat bawa ibu ke Tanah Suci dan menziarahi pusara arwah ayah. Bagaimanapun kami merancang untuk ke sana selepas musim haji," katanya.

Sementara itu, Muhammad Nabel turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan bapanya selepas berita kehilangannya di Tanah Suci dilaporkan di media-media tempatan.

"Pada Jumaat, solat jenazah ghaib turut diadakan di Masjid Jamek Sri Gading. Saya terharu, orang ramai terutama di Batu Pahat tidak henti-henti mendoakan arwah ayah.

"Keluarga dan saudara dari Batu Pahat dan Simpang Renggam juga turut hadir menziarahi ibu dan kami adik beradik serta memberikan kami kata-kata semangat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Sudah hampir sebulan ayah hilang di Tanah Suci'

'Mohon doa rakyat Malaysia agar ayah ditemui'

[VIDEO] 'Saya percaya ayah masih berada di Makkah'

'Setia menunggu kepulangan ayah'