'Mohon doa rakyat Malaysia agar ayah ditemui'

Musthafa Kamal bersama Muaz ketika di Tanah Suci.
Musthafa Kamal bersama Muaz ketika di Tanah Suci.
A
A
A

BATU PAHAT - Anak sulung kepada Musthafa Kamal Abdullah 49, jemaah umrah yang hilang di Tanah Suci sejak sebulan lalu akan berangkat menunaikan umrah pada petang Jumaat.

Muhammad Nabil 26, memohon doa rakyat Malaysia agar usahanya ke Makkah bersama adik, Muaz 17, dapat menemui ayah dan membawanya pulang ke tanah air dengan selamat.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan semoga ayah segera ditemui dan berada dalam keadaan selamat. Teruskan berdoa untuk ayah.

"Saya dan adik akan menaiki penerbangan dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada jam 4 petang Jumaat. Kami akan bertolak dari Batu Pahat ke rumah saudara di Gombak pada petang ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Muhammad Nabil ( kanan) dan adiknya Muaz akan berangkat ke Makkah pada petang Jumaat.
Muhammad Nabil ( kanan) dan adiknya Muaz akan berangkat ke Makkah pada petang Jumaat.

Muhammad Nabil yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat berkata, bacaan Yasin dan solat hajat sudah dilakukan keluarga untuk mendoakan keselamatan sepanjang dua minggu berada Makkah kelak.

"Saya dan adik tidak sabar untuk ke Makkah untuk mencari ayah di Tanah Suci, ditambah dengan kata-kata semangat daripada Zurina Muhammad@ Shamsudin, 49," katanya.

Pada 6 Disember lalu, Musthafa yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja berangkat menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz dan dijangka pulang ke Malaysia pada 18 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, bapa kepada lima orang anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel di Makkah.

Satu laporan polis telah dibuat di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi berhubung kehilangan Musthafa.

Sementara itu pada Khamis, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut memohon semua masjid di negeri ini membuat solat hajat selepas solat Jumaat.

Jelasnya, ia sebagai salah satu usaha untuk meminta petunjuk kepada ALLAH SWT menemukan jemaah umrah negara, Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah sejak sebulan lalu.