Tuntutan Sulu: Kerajaan ambil segala tindakan pertahan kedaulatan negara

Azalina pada sidang media di Dewan Melaka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu. - Foto Bernama
Azalina pada sidang media di Dewan Melaka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengambil apa sahaja tindakan untuk mempertahankan kedaulatan negara termasuk menyaman pihak pemberi dana (funder) dan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung kes tuntutan terhadap Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak berkenaan perlu membayar semula segala kos yang dikeluarkan Malaysia susulan tindakan pihak yang membuat tuntutan itu.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai asas untuk mempercayai bahawa tuntutan itu bermotifkan kewangan, yang dibiayai oleh pembiaya litigasi yang tidak berpangkalan di Asia.

"Kita melihat bahawa ini satu gerakan yang lebih kepada satu elemen untuk membuat duit dan kita tahu litigation funders akan ambil 25 hingga 30 peratus daripada jumlah (tuntutan). Itu sebabnya saya nak ingatkan bahawa ini satu serangan yang serius kepada kedaulatan negara.

"Walaupun tidak dilihat daripada elemen senjata api, tetapi kepada elemen untuk membankrapkan negara Malaysia dengan award berjumlah AS$15 bilion,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Azalina berkata, kerajaan Malaysia akan menentang habis-habisan sebarang gerakan dan tindakan yang dilihat sebagai mengambil kesempatan dan tidak mengikuti prosedur undang-undang dalam aspek antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengenal pasti pihak pembiaya litigasi itu yang merupakan sebuah syarikat ternama tidak berpangkalan di Asia, dan tindakan selanjutnya sedang diambil berhubung perkara itu.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan Paris semalam, Azalina berkata, walaupun ia merupakan ‘partial award’ namun ia amat penting memandangkan Hakim Mahkamah Rayuan itu merujuk kepada intipati yang paling penting mengapa Malaysia menentang tuntutan berkenaan.

"Kerajaan Malaysia amat konsisten mengatakan bahawa Perjanjian 1878 tidak ada di timbang tara antarabangsa... Pemberhentian bayaran yang dibuat ialah perhubungan sejarah yang bayaran dibuat sebagai sagu hati.

"Di sini pembayaran yang dibuat Malaysia terhenti disebabkan oleh keganasan yang berlaku di Lahad Datu pada tahun 2013. Jika keganasan tidak berlaku, pembayaran itu mungkin diteruskan. Ini menunjukkan bahawa fakta yang dibentangkan Malaysia begitu konsisten. Keputusan Mahkamah Perancis itu mengesahkan bahawa klausa timbang tara itu sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Mahkamah Rayuan Paris semalam memutuskan untuk mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa, telah membuat keputusan memihak kepada mereka.

Stampa telah mengeluarkan award akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan Malaysia telah menggunakan segala remedi perundangan untuk membatalkan award itu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh kerajaan Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan award itu.

Justeru, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan award itu adalah kekal. - Bernama