Isu kenaikan OPR: Dr Mahathir bidas kenyataan Anwar

Dr Mahathir (Laporan Sinar Harian.)
Dr Mahathir (Laporan Sinar Harian.)
A
A
A

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan membantu memperkukuhkan nilai mata wang negara.

Menurut bekas Perdana Menteri, hujah Anwar menggunakan contoh mata wang dolar Singapura mengukuh kerana kenaikan OPR adalah tidak tepat sekali.

"Seingat saya memang Singapura tidak ada OPR. Ia ada SORA – Singapore Overnight Rate Average. Pendekatan SORA Singapura dan OPR Malaysia berbeza.

"Sama ada jawapan Anwar boleh dianggap menipu atau mengelirukan Dewan Rakyat terserah kepada ahli-ahli Parlimen menentukan," kata beliau dalam satu ciapan di Twitter pada Rabu.

Dr Mahathir juga secara sinis turut membangkitkan persoalan Anwar berhubung isu kenaikan OPR kini.

Jelasnya, sebelum menjawat Perdana Menteri, Anwar amat lantang mengkritik perkara itu.

"Sebelum jadi Perdana Menteri, Anwar marah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyindir sama ada Tengku Zafrul bekerja untuk bank atau rakyat apabila menaikkan OPR.

"Jadi Anwar bekerja untuk bank atau rakyat sekarang ini?," soalnya.

Beliau juga berpandangan, cara Anwar berhadapan dengan isu ringgit yang semakin melemah dilihat tidak meyakinkan.

Anwar semasa sidang Parlimen pada Selasa menyatakan kadar kenaikan OPR akan membantu memperkukuhkan nilai mata wang negara.

Bagaimanapun ujar beliau, kenaikan OPR atau kadar faedah yang terlalu pantas akan mendatangkan kesan negatif kepada rakyat terutamanya peniaga.