KXP bukan pelengkap tapi pesaing kepada LTAPP

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bukan sebagai pelengkap Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebaliknya dilihat sebagai pesaing kepada lapangan terbang tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pembinaan KXP akan memberi saingan kepada LTAPP untuk mendapatkan syarikat bagi menggunakan perkhidmatan kargo di Koridor Utara.

"Pembinaan KXP bukan pelengkap sebaliknya sebagai pesaing kepada LTAPP. Pembinaan lapangan terbang baharu itu juga akan menyebabkan pengurangan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo sedia ada di LTAPP.

" Ia akan mengurangkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) Pulau Pinang. Ini kerana, pelabur akan beralih ke kawasan Kulim, Kedah dan kemungkinan besar ke negara lain," katanya pada Sidang DUN di sini hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan A Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai impak pembinaan KXP kepada ekonomi Pulau Pinang untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang dalam proses melantik perunding untuk menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara.

"Proses merangka terma rujukan bagi tujuan tersebut sedang dijalankan dan pelantikan perunding dijangka dilaksanakan pada suku terakhir tahun ini.

"Kajian ini dicadangkan untuk dilaksanakan secara menyeluruh supaya keputusan tepat dapat diperoleh selain diteliti secara mendalam sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan," katanya.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang meneliti laporan disediakan juruperunding, KPMG Corporate Advisory dan KLIA Consultancy berhubung impak pembinaan KXP.

"KPMG Corporate Advisory menyediakan laporan bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU) manakala KLIA Consultancy untuk kerajaan negeri dalam menyediakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan KXP.

"Berdasarkan kedua-dua laporan itu, pembinaan KXP akan memberi kesan negatif kepada LTAPP khususnya dan Pulau Pinang amnya," katanya.

Menurutnya, kajian itu adalah untuk melihat opsyen bersesuaian bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara.

"Terdapat empat opsyen yang boleh dikaji iaitu memperbesarkan LTAPP ke tahap kapasiti optimum, membina lapangan terbang baharu di Pulau Pinang, cadangan lapangan terbang Kulim+Penang (Kulim Plus Penang) iaitu sinergi yang dapat membantu kedua-dua negeri dan hanya fokus pada KXP.

"Opsyen ketiga iaitu sinergi lapangan terbang Kulim+Penang juga ada impak pada Pulau Pinang. Sinergi itu akan menyebabkan trafik penumpang dan kargo terbahagi kepada dua," katanya.

Kon Yeow turut menyatakan kerisauan berhubung opsyen keempat selepas KXP mula beroperasi.

"Opsyen keempat yang saya risau sangat. Apabila lapangan terbang di Kulim siap dan mula operasi mungkin keputusan tutuplah LTAPP, tak perlu lapangan terbang Pulau Pinang lagi.

"Lapangan terbang dengan rangkaian pengangkutan, jalan, pelaburan dan kemudahan asas yang lain adalah kriteria pertama untuk melihat sejarah Pulau Pinang ke arah sebuah negeri industri yang maju," katanya.

Sementara itu, menurutnya, tidak ada lapangan terbang yang hanya memberi perkhidmatan kargo sahaja namun perlu tunggu kajian dahulu.

"Apa-apa pun, kita tunggu kajian dahulu sama ada Kulim cuma menjadi lapangan terbang kargo atau sebaliknya.

"Tidak masuk akal jika hanya beri perkhidmatan kargo sahaja. Kita menunggu kajian Kerajaan Kedah untuk meyakinkan bahawa Kulim tidak akan menjejaskan Pulau Pinang," katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Hafizah Othman (BN-Permatang Berangan) berhubung langkah yang diambil untuk memastikan tidak berlaku kehilangan pelabur jika KXP dispesifikasikan sebagai lapangan terbang untuk kargo.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia