IMPAC proaktif lahirkan tenaga kerja mahir, separa mahir

Fadillah - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Fadillah - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) ditubuhkan sebagai induk bagi menerajui dalam menyelaras kursus dan program latihan kemahiran pusat latihan agensi-agensi di bawah satu organisasi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, IMPAC yang merupakan Institusi Peneraju Industri (ILB) bagi sektor agrikomoditi itu sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam memastikan tenaga kerja mahir atau separa mahir dilahirkan bagi memenuhi keperluan industri di negara ini.

Ujar beliau, institusi itu melibatkan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

“Sebagai contoh, sehingga 2022, IMPAC telah mengeluarkan seramai 2,500 pelatih program di sektor sawit dengan 860 orang iaitu 35 peratus telah mendapat pekerjaan di sektor perladangan manakala selebihnya terlibat di sektor lain.

“Kementerian dan agensi akan terus giat menjalinkan kerjasama rentas agensi untuk menarik minat golongan belia menceburi sektor perladangan termasuk bidang keusahawanan, mendapatkan peluang-peluang latihan kemahiran, laluan kerjaya dan kehidupan sebenar di sektor perladangan sekali gus mengurangkan kebergantungan sektor perladangan kepada pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan Menteri Perladangan dan Komoditi, pada Rabu.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu merupakan antara langkah kerjasama kerajaan dengan pihak berkepentingan termasuk kementerian, agensi serta swasta dalam menarik minat anak muda tempatan menceburi sektor perladangan.

Menurutnya, antara kerjasama lain yang telah dilaksanakan turut melibatkan Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi membangunkan Modul Latihan TVET bagi sektor perladangan.

“Selain itu, kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam melaksanakan program ‘upskilling dan reskilling’ graduan serta penempatan latihan industri.

“Kerjasama dengan sektor swasta khususnya pemain industri utama seperti Sime Darby Plantation, FGV Holdings Bhd (FGV), IOI Plantation dan Yayasan Pahang Plantation Holding (YPPH) dalam melaksanakan Program Place and Train.

“Program jangka masa pendek selama tiga bulan ini merupakan satu kaedah ‘Quick Win’ untuk menarik minat belia tempatan menceburi sektor perladangan dengan jaminan peluang pekerjaan,” ujarnya.