Idea mampan untuk menoktahkan kemiskinan

Isu kemiskinan perlu menjadi agenda utama dalam pentadbiran, bukannya dijadikan sebagai isu politik untuk meraih sokongan rakyat semata-mata. - Foto hiasan/Bernama
Isu kemiskinan perlu menjadi agenda utama dalam pentadbiran, bukannya dijadikan sebagai isu politik untuk meraih sokongan rakyat semata-mata. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

KENYATAAN Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim bahawa seorang pemimpin tidak semestinya perlu ada pengalaman hidup dalam kemiskinan bagi memahami masalah tersebut dan membantu rakyat yang memerlukan, menarik untuk direnungi.

Wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian ketika mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perdana Menteri ‘tidak tahu apa-apa’ tentang kemiskinan.

Dalam satu ceramah Perikatan Nasional (PN) di Tanjong Karang pada Sabtu, Sanusi meremehkan komitmen Anwar untuk membasmi kemiskinan tegar di Malaysia dengan membangkitkan latar belakangnya sebagai anak ahli Parlimen dan menerima pendidikan di sebuah sekolah elit iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Bagi menguatkan hujahnya, Hassan memberikan beberapa contoh pemimpin di negara ini yang telah berusaha membantu golongan miskin antaranya Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussien yang lahir dalam golongan bangsawan dan mendapat gelaran Bapa Pembangunan.

Benar, untuk membantu orang miskin atau membasmi kemiskinan tidak memerlukan pemimpin yang lahir daripada golongan itu tetapi memerlukan kebijaksanaan pengurusan dan merencanakan pendekatan yang memberi impak kepada rakyat, walaupun dilahirkan di kayangan sekali pun.

Pada masa yang sama, pemimpin yang dipilih juga perlu mencari jalan penyelesaian segera untuk membantu sebahagian besar rakyat di negara ini keluar dari kelompok kemiskinan.

Malah, isu kemiskinan perlu menjadi agenda utama dalam pentadbiran, bukannya dijadikan sebagai isu politik untuk meraih sokongan rakyat semata-mata.

Sudah sampai masanya kerajaan mengakui bahawa keadaan kemiskinan di negara kita sebenarnya amat tenat.

Kerajaan juga perlu mengenal pasti apakah punca kepada masalah kemiskinan ini tanpa perlu menuding jari kepada kerajaan yang lepas dalam hal ini.

Kesan pandemik Covid-19 telah menyebabkan kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar meningkat kepada 8.4 peratus dan 1.0 peratus masing-masing pada 2020.

Justeru, rakyat menunggu pelan jangka pendek dan jangka daripada kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar yang memerlukan idea yang mampan daripada seorang Perdana Menteri, bukan sekadar beretorik!