‘Berdamailah dengan takdir’ - Nor Azrina

Nor Azrina
Nor Azrina
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Nor Azrina Surip berharap agar parti politik di blok pembangkang untuk berdamai dengan takdir.

Menurutnya, hakikat perlu diterima bahawa tidak ada mana-mana parti yang mendominasi untuk membentuk kerajaan.

“Selama empat hari masa diperlukan untuk membentuk kerajaan kerana tidak ada parti yang menang majoriti iaitu 121 kerusi.

“Ada yang mengatakan bahawa kerajaan perpaduan cuba lari tetapi tidak kerana ia adalah dasar hormat dan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 400 yang bertajuk PRN: Siapa Patut Rakyat Pilih yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Pada masa sama, Nor Azrina memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengajar ahli-ahlinya melihat keburukan parti lain.

Jelasnya, kesepaduan yang ditonjolkan oleh kerajaan melambangkan kekuatan kerana mampu menggabungkan jumlah kerusi sedemikian rupa.

“148 itu adalah jumlah yang stabil, kalau kita campurkan semua parti (Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah). Kita dapat lihat kelebihan di sini adalah kemajmukan.

“Tidak pernah ada dalam sejarah dalam Malaysia, kita ada Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah dan Serawak. Perkara itu membuktikan negara kita kini memang majmuk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Azrina turut berharap agar parti lain tidak terlalu skeptikal terhadap DAP.

Sebaliknya beliau memaklumkan hanya ada beberapa orang sahaja menteri dan timbalan menteri daripada parti berkenaan.

“Beritahu saya di mana DAP menguasai, sebab itu kadang-kadang, kita kena bercakap dengan fakta bukan auta,” katanya.