Sektor perikanan rugi RM438,500 akibat cuaca panas

Adnan (kanan) menunjukkan pukat kepada Ahmad di Pasir Puteh pada Selasa.
Adnan (kanan) menunjukkan pukat kepada Ahmad di Pasir Puteh pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sektor perikanan akuakultur di seluruh negara mengalami kerugian RM438,500 setakat bulan lalu akibat cuaca panas melampau.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, ia melibatkan kerosakan benih-benih dan kematian ternakan ikan sangkar yang diusahakan 21 penternak dengan kerugian paling tinggi di Pahang iaitu RM217,000, Terengganu (RM108,500), Johor (RM50,000), Selangor (RM39,000) dan Kelantan (RM24,000).

“Jabatan Perikanan berasa amat dukacita dengan situasi ini dan menerima beberapa laporan kematian ikan akibat cuaca panas melampau.

“Kita sedang mengumpulkan maklumat untuk dibawa ke pihak yang lebih tinggi berhubung bencana yang menimpa mereka,” katanya kepada pemberita di Karnival Usahawan My Agropreneur Perikanan (myAP) dan My Komuniti Perikanan (myKP) Zon Timur 2023 di Tok Bali di sini, pada Selasa.

Hadir merasmikan karnival itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Adnan berkata, Jabatan Perikanan akan terus memantau dan menilai kembali kerugian yang dialami oleh penternak.

“Kami akan menimbangkan untuk memberi bantuan benih ikan setelah keadaan cuaca kembali pulih.

“Bantuan itu tidak boleh diberikan sekarang kerana cuaca masih sangat panas dan mereka tidak boleh memulakan kerja-kerja menternak dan perlu menunggu cuaca kembali stabil,” kata beliau.

Sementara itu, Adnan memberitahu pihak jabatan turut melakukan pemantauan pendaratan ikan laut semasa musim kemarau yang melanda.

“Kami khuatir mungkin ada pengurangan pendaratan ikan apabila cuaca terlalu panas dan membataskan nelayan pantai untuk ke laut.

“Faktor panas juga boleh menjejaskan pergerakan ikan-ikan di perairan negara kita, namun keadaan setakat ini terkawal selain belum ada keperluan seperti menghentikan eksport ikan atau sebagainya,” ujarnya.

Ahmad (dua dari kanan) diiringi Adnan (dua dari kiri) menyampaikan bantuan input ternakan akuakultur kepada penternak ikan di Pasir Puteh.
Ahmad (dua dari kanan) diiringi Adnan (dua dari kiri) menyampaikan bantuan input ternakan akuakultur kepada penternak ikan di Pasir Puteh.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak RM46,300 peruntukan disalurkan bagi pembangunan program Pengembangan Perikanan yang memfokuskan kepada usahawan dan myKomuniti Perikanan tahun ini, manakala RM133,579 disalurkan kepada 15 penternak akuakultur di negeri ini.

“RM360,000 lagi disalurkan untuk pelaksanaan program pembangunan 11 unit Tukun Tiruan Dasar Lembut (Konservasi) Penghalang Pukat Tunda pada Julai di perairan Pasir Putih dan Bachok.

“Tahun lalu, 16 unit myKomuniti Perikanan di negeri ini berjaya menghasilkan 336,450 kilogram produk makanan berasaskan hasilan ikan dengan catatan jumlah dagangan sebanyak RM2 juta,” katanya.