Penganggur didakwa amang seksual anak tiri, cederakan isteri

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual fizikal dan mencederakan isterinya di Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual fizikal dan mencederakan isterinya di Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuannya berusia 13 tahun, bulan lalu.

Lelaki berusia 24 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa di sebuah rumah di Bandar Kamunting di sini sekitar jam 1.30 pagi pada 24 Mei lalu.

Tertuduh juga turut didakwa atas kesalahan sama yang dilakukan di hadapan sebuah pasar raya di Taiping sekitar jam 9 malam pada 27 Mei lalu.

Kedua-dua pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Pauzi tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor keselamatan mangsa.

Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh tidak boleh diikat jamin dan menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berusia 37 tahun dengan menggunakan sebilah pisau berhulu kayu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Bandar Kamunting di sini sekitar jam 9.30 malam pada 23 Mei lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A Kanun Keseksaan, hukumannya penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan kesalahan mengikut seksyen yang relevan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya diberikan jaminan kerana dia tidak mahu kembali memasuki penjara.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 8 Ogos depan.