Kerajaan digesa mulakan reformasi gaji minimum - SPCAM

Kerajaan perlu memulakan reformasi sistematik dalam bentuk memperkenalkan gaji minimum yang realistik di negara ini.
Kerajaan perlu memulakan reformasi sistematik dalam bentuk memperkenalkan gaji minimum yang realistik di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memulakan reformasi sistematik dalam bentuk memperkenalkan gaji minimum yang realistik dan bukan mengharapkan komuniti perniagaan membetulkan diri mereka sendiri.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D'Angelus berkata, kerajaan mesti memimpin reformasi tersebut bagi memastikan hak perwakilan kesatuan sekerja sesuai dan mendakwa majikan yang menyalahgunakan pekerja asing.

"Tiada apa yang boleh diharapkan daripada komuniti perniagaan dalam perkara berkait kenyataan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bahawa gaji perlu dinaikkan untuk menarik tenaga kerja tempatan bagi mengisi kira-kira 800,000 pekerjaan tempatan.

"Ini kerana mereka telah terbiasa dengan dekad yang dibenarkan dan didorong untuk menekan tahap gaji sehingga persekitaran ekonomi yang tidak masuk akal untuk rakyat Malaysia bekerja dalam pekerjaan sedemikian.

"Pekerja asing dibawa masuk, termasuk ada yang didera dan dinafikan hak asasi manusia, dan pada tahap gaji yang tidak mampu diterima oleh rakyat Malaysia. Dengan cara ini, perniagaan dapat mengurangkan kos dan menyalahgunakan pekerja, semuanya nampaknya sah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Sivakumar dilaporkan berkata, berkata para majikan perlu menawarkan kemudahan-kemudahan yang menarik selain meningkatkan gaji.

Katanya statistik ketika ini menunjukkan terdapat lebih 1.18 juta warga tempatan yang bekerja di Singapura manakala secara keseluruhan, terdapat 1.8 juta rakyat Malaysia yang bekerja di perantauan, oleh itu, majikan harus melihat perkara ini sebagai satu tanda bahawa kita bukanlah kekurangan tenaga pekerja.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangan beliau tentang keluhan para majikan berhubung kesukaran mencapai nisbah 80:20 bagi buruh tempatan dan asing,

Susulan itu, Callistus menggesa mana-mana majikan yang didapati menyalahgunakan pekerja asing seperti memegang pasport dan menahan di tempat tinggal mereka perlu dipertanggungjawabkan secara jenayah.

"Perniagaan pekerja asing di Malaysia ialah perniagaan perdagangan hamba zaman moden.

"Sepanjang perjalanan, ramai orang yang korup telah menjana wang dalam jumlah yang banyak untuk diri mereka melalui mekanisme eksploitatif yang telah diinstitusikan ini," ujarnya.

Menurut beliau, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan bergerak ke arah yang betul justeru wajar perkara berkenaan diberi tumpuan sekarang.

Bagaimanapun, tegasnya, Sivakumar perlu melihat sama ada kementeriannya mempunyai peranan dalam hal tersebut secara langsung atau tidak.

"Akibat tidak langsung daripada penyalahgunaan situasi pekerja asing ialah rakyat Malaysia telah dinafikan kedua-dua peluang pekerjaan dan hak untuk mencari rezeki yang layak.

"Ekoran situasi itu, lebih ramai rakyat Malaysia akan mencari peluang pekerjaan di luar negara, manakala pekerja asing akan terus dibawa masuk untuk dieksploitasi dan didera oleh majikan Malaysia.

"Situasi ini hanya boleh dipulihkan jika terdapat peraturan yang sesuai. Kementerian Sumber Manusia harus mula bertindak bukan hanya membuat kenyataan dan merayu kepada komuniti perniagaan," jelasnya.