Jangan jadikan isu agama sebagai polemik, perbalahan politik - Agong

Al-Sultan Abdullah bertitah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang disiarkan melalui televisyen tempatan malam ini. - Foto Twitter Bernama
Al-Sultan Abdullah bertitah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang disiarkan melalui televisyen tempatan malam ini. - Foto Twitter Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar seluruh rakyat Malaysia tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

Al-Sultan Abdullah bertitah, semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.

"Namun demikian, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai. Semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan yang ada sebenarnya adalah asas kekuatan utama negara.

"Justeru bagi membina sebuah negara yang gagah perkasa, maju jaya, berwibawa dan bermaruah, kita semua hendaklah membuang agenda retorik perpecahan dan sebaliknya bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan yang lebih baik,” titah Seri Paduka Baginda sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang disiarkan melalui televisyen tempatan malam ini.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana ini adalah tahun kelima Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyambut hari yang penuh bermakna itu bersama rakyat Malaysia.

Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Julai 2019.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bersyukur kerana Hari Keputeraan Rasmi Baginda disambut dalam suasana landskap negara yang stabil dan sentosa.

"Pada tahun yang lalu, Pilihan Raya Umum yang ke-15 dan proses pembentukan Kerajaan Persekutuan telah berlangsung dengan penuh lancar serta dalam suasana yang aman dan damai.

"Ini adalah bukti jelas bahawa amalan demokrasi yang diamalkan semenjak tujuh dekad yang lalu masih kekal subur di negara ini. Amalan demokrasi ini hendaklah terus menjadi asas kepada kestabilan dan keharmonian negara,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi negara yang maju dan disegani memandangkan ia dilimpahi dengan nikmat keamanan, kepelbagaian sumber dan modal insan berkualiti serta mempunyai semangat juang yang tinggi.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, kekuatan utama negara ini adalah rakyatnya yang amat mencintai kedamaian, keharmonian dan kesatuan dalam kehidupan seharian serta menerima kemajmukan yang wujud dengan penuh toleran.

Seri Paduka Baginda bertitah, rakyat Malaysia juga telah sekian lama berjaya mencipta nama di persada dunia dalam pelbagai bidang termasuk dalam mencorak landskap geopolitik serantau dan global.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan penghargaan atas ucapan tahniah, ingatan serta doa yang telah dipersembahkan yang menjadi kekuatan baginda untuk terus memayungi rakyat Malaysia dengan adil dan saksama.

Mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan serta keamanan negara.

"Beta ingin mengajak barisan kepimpinan negara untuk terus berkhidmat setulus hati, dan meningkatkan usaha membentuk sistem pentadbiran negara yang cekap, mesra rakyat dan berintegriti demi membela masa hadapan rakyat beta dan negara yang bertuah ini.

"Marilah sama-sama kita berdoa semoga rakyat Malaysia dan negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman dan makmur serta sentiasa berada di bawah perlindungan ALLAH subhanahu wataala serta dijauhi daripada musibah dan bala bencana," titah Seri Paduka Baginda. - Bernama