Aktiviti tanaman padi lebih 30 pesawah terjejas

Aktiviti tanaman padi melibatkan lebih 30 pesawah di sekitar Kampung Pinang, Batang Tiga di sini dengan keluasan kawasan lebih 145 hektar terjejas ekoran tiada sistem pengairan yang baik selain situasi cuaca panas sejak beberapa bulan lepas. - Gambar hiasan Bernama
Aktiviti tanaman padi melibatkan lebih 30 pesawah di sekitar Kampung Pinang, Batang Tiga di sini dengan keluasan kawasan lebih 145 hektar terjejas ekoran tiada sistem pengairan yang baik selain situasi cuaca panas sejak beberapa bulan lepas. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

MELAKA - Aktiviti tanaman padi melibatkan lebih 30 pesawah di sekitar Kampung Pinang, Batang Tiga di sini dengan keluasan kawasan lebih 145 hektar terjejas ekoran tiada sistem pengairan yang baik selain situasi cuaca panas sejak beberapa bulan lepas.

Ketua Kelompok Pesawah Padi Kampung Pinang, Mohd Shakirin Mohd Zan, 37, berkata, keadaan itu menyebabkan sawah padi berkenaan kekurangan sumber air, dan kerja membajak serta proses menabur benih yang sepatutnya dilakukan pada April lepas tergendala.

Beliau berkata, situasi itu juga menyebabkan sebahagian padi yang ditanam pada musim sebelum ini tidak dapat dituai sehingga bertukar menjadi 'padi bentat' sekali gus merugikan pesawah yang rata-ratanya merupakan pesawah padi sepenuh masa.

"Aktiviti tanaman padi di kawasan ini sepatutnya boleh dilakukan dua kali setahun iaitu pada setiap April dan November, namun kami berdepan dengan situasi kekurangan sumber air sejak lebih 10 tahun lepas.

"Ia bukan sahaja membantutkan aktiviti tanaman padi, malah kualiti padi yang dituai turut rendah selain pesawah turut berdepan dengan risiko lain seperti benih padi rosak, ancaman burung merpati dan tikus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, justeru pesawah padi di kawasan berkenaan berharap kerajaan negeri dapat mempercepat projek pengairan yang dijanjikan sebelum ini atau sekurang-kurangnya membina sebuah longkang konkrit bagi menyalurkan air dari Sungai Klebang ke kawasan sawah terlibat.

Katanya, usaha berkenaan penting bukan sahaja menyelamatkan kehidupan pesawah yang bergantung hidup kepada aktiviti tanaman padi malah membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran padi sekali gus menjamin sekuriti makanan negara.

Seorang lagi pesawah, Musa Arib, 63, berkata, beliau terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membeli tong air untuk memastikan bekalan air dapat dibekalkan ke kawasan sawah miliknya seluas 3.6 hektar.

Beliau berkata, selain itu beliau juga terpaksa berdepan risiko kerosakan benih padi sekiranya tanaman itu tidak dapat diusahakan mengikut jadual kerana benih berkenaan hanya mampu bertahan enam bulan sahaja.

"Kami hampir buntu... mohon kerajaan bantulah kami kerana kebanyakan pesawah di sini telah lama mengusahakan tanaman ini dan kami juga membantu kerajaan meningkatkan bekalan makanan negara," katanya. - Bernama