Lelaki lumpuh akibat darah tinggi, harap ihsan adik-beradik

Asrulafendi (kiri) dibantu Ariza untuk makan ubat dan mengurus rutin harian.
Asrulafendi (kiri) dibantu Ariza untuk makan ubat dan mengurus rutin harian.
A
A
A

TUMPAT - Penyakit darah tinggi yang menyerang secara tiba-tiba mengakibatkan Asrulafendi Berahim, 43, kini lumpuh kedua-dua belah kaki dan tidak dapat berjalan seumur hidup.

Asrulafendi yang sebelum ini aktif melakukan kerja-kerja kampung kini terpaksa meminta bantuan adik-beradik untuk menguruskan rutin hariannya.

Lebih menyedihkan, tempurung kepalanya terpaksa dibedah bagi membuang darah beku di otak sebelah kanan.

Menurutnya, ketika kejadian enam tahun lalu, tangannya secara tiba-tiba tidak dapat bergerak dan mengalami kekejangan sebelum dia rebah di sisi kakaknya, Ariza Berahim, 45.

"Ketika itu ayah baru beberapa bulan meninggal dunia. Kami adik-beradik bersahur bersama pada hari keempat puasa. Tiba-tiba saya terasa tangan tidak dapat bergerak dan segera memanggil kakak.

"Mereka kemudian menghantar saya ke Hospital Kelaboran di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jal Besar di sini.

Asrulafendi memberitahu, ketika koma selama beberapa hari di Unit Rawatan Rapi, dia ditemani adik lelaki, Mohd Aizad, 32, yang berulang-alik setiap hari dari Tumpat ke Kota Bharu.

Katanya, dia tidak tahu menghidap penyakit darah tinggi dan hanya bergantung kepada ubat penahan sakit jika mengalami sakit kepala atau lenguh-lenguh badan.

Jelasnya lagi, akibat penyakit itu juga tangan sebelah kirinya tidak dapat bergerak dan kini hanya mampu mengengsot.

"Kekangan kewangan ketika itu turut membataskan saya berulang-alik menjalani fisioterapi di hospital selain usaha melalui kaedah tradisional juga terpaksa dihentikan.

Bagaimanapun, anak kedua daripada enam beradik itu bersyukur kerana menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang cukup untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan perubatan.

"Alhamdulillah adik-beradik ada membantu meringankan beban saya dengan menyediakan makanan dan membelikan keperluan saya walaupun mereka juga ada kekangan," katanya.

Bagaimanapun, Asrulafendi yang masih bergantung kepada ubat-ubatan berharap dapat bersantai di luar bersama keluarga satu hari nanti.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui nombor akaun 0301041000433873 atas nama Asrulafendi Berahim atau menghubungi talian 0145168519.