KKM teliti isu doktor, jururawat tidak cukup

Dr Zaliha menerima replika kunci Klinik Kesihatan Mata Ayer daripada Abdul Rahman pada Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7, Mata Ayer Machang pada Sabtu.
Dr Zaliha menerima replika kunci Klinik Kesihatan Mata Ayer daripada Abdul Rahman pada Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7, Mata Ayer Machang pada Sabtu.
A
A
A

MACHANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti masalah kekurangan doktor dan jururawat di seluruh negara bagi membolehkan keperluan dipenuhi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kementerian itu juga melihat keperluan penempatan jawatan berkenaan bagi mengelakkan kekurangannya.

Menurut beliau, kemungkinan ada lebihan kakitangan di beberapa hospital dan klinik kerajaan.

"Mungkin keadaan yang kita lihat dan laporan yang diterima bukan hakiki kekurangan tetapi masalah membabitkan lebihan petugas termasuk doktor dan jururawat.

"Sebenarnya kalau kita tengok pun masalah kekurangan petugas ini bukan melibatkan ketetapan satu hospital dan keseluruhannya memang kita kenal pasti ada kekurangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7, Mata Ayer Machang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta kerajaan menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat di beberapa hospital awam terutama Hospital Sultan Ismail (HSI).

Antara isu dibangkitkan selepas lawatan di HSI ialah Wad 9A dan 10A yang membabitkan lebih 100 katil pesakit tidak dapat digunakan.

Dr Zaliha memberitahu, KKM mengambil berat mengenai isu berkenaan dan sudah menghantar pegawai untuk berbincang dengan Onn Hafiz.

"Kita akan mengambil tindakan segera mengenai perkara itu," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai masalah yang dihadapi oleh Penolong Pegawai Perubatan (PPP) kontrak, beliau berkata, tempoh lanjutan diberikan setahun lagi.

Bagaimanapun katanya, mereka akan diserapkan jika ada kekosongan.

Pada majlis itu, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan lima projek siap Klinik Kesihatan Jebis 7 di negeri ini kepada KKM.

Klinik berkenaan ialah Klinik Kesihatan Machang, Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang; Klinik kesihatan Peria dan Klinik Kesihatan Kuarters Karangan di Kuala Krai serta Klinik kesihatan Sokor, Tanah Merah.

Tambah Dr Zaliha, kesemua klinik kesihatan itu merupakan klinik desa berstatus daif yang dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan Jenis 7 dan bakal menawarkan perkhidmatan seperti Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Pesakit Luar, Rawatan Kecemasan, Makmal Perubatan Asas dan Farmasi.

"Kesemua klinik ini dijangka mula beroperasi pada 2 Julai depan dengan kos keseluruhan berjumlah RM32.05 juta," katanya.