PBAKL: Medan peminat anime cari buku genre alternatif

Nurul Diana hadir berpakaian cosplay ke PBAKL.
Nurul Diana hadir berpakaian cosplay ke PBAKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur tidak terhad kepada bahan bacaan umum dan pendidikan, malah turut menjadi medan berkumpul peminat novel moden dan kontemporari dari luar negara.

Nurul Diana Hairuddin, 16, berkata, minatnya yang mendalam terhadap karakter anime dari Jepun membawanya ke pesta buku berkenaan untuk mendapatkan bahan bacaan alternatif bersesuaian minatnya.

Selain gemar berpakaian cosplay, pelajar di sebuah sekolah menengah di ibu negara itu juga meminati lukisan karakter anime daripada negara matahari terbit itu.

“Saya mengenali anime daripada media sosial dan sejak itu, saya mula membuat bacaan di internet selain membaca buku atau komik yang diperolehi secara dalam talian.

“Jadi saya datang ke PBAKL untuk dapatkan bahan bacaan sesuai dengan minat seperti komik dan bahan bacaan alternatif,” katanya ketika ditemui di WTC sempena PBAKL pada Jumaat.

Nurul Diana berkata, buku alternatif mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan remaja sepertinya dan PBAKL menjadi pentas kepada mereka menzahirkan minat dengan cara tersendiri.

Pelbagai bahan bacaan seperti buku ilmiah, pendidikan dan alternatif dijual di reruai Karangkraf sempena PBAKL di WTC.
Pelbagai bahan bacaan seperti buku ilmiah, pendidikan dan alternatif dijual di reruai Karangkraf sempena PBAKL di WTC.

Hadir berpakaian cosplay, remaja kelahiran Selangor itu tidak kekok berada dalam lautan orang ramai untuk mendapatkan bahan bacaan diingini.

“Saya anggap kostum cosplay seperti ‘signal’ kepada pempamer untuk mengiklankan bahan bacaan terbitan mereka kepada saya.

“Baru saya tahu sebenarnya platform PBAKL menyediakan banyak buku alternatif dan saya gembira kerana tidak perlu beli secara dalam talian,” ujarnya.