Hilang kaki bukan titik pengakhiran

Santhara (kiri) membantu memakaikan kaki palsu kepada Elia Nurul Syahida di Pusat Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka (PRPTAR) di sini hari ini.
Santhara (kiri) membantu memakaikan kaki palsu kepada Elia Nurul Syahida di Pusat Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka (PRPTAR) di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - "Jangan menganggap kehilangan anggota badan itu sebagai titik pengakhiran segalanya, tetapi jadikan ia jalan yang indah untuk meneruskan kehidupan," kata Elia Nurul Syahida Nasruddin, 23.

Kisah Elia Nurul Syahida yang terlibat dalam kemalangan jalan raya hingga terputus kaki kanan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Putrajaya pernah dilaporkan media pada September tahun lalu.

Elia Nurul Syahida berkata, setiap ujian yang diberikan ALLAH perlu dipandangkan dari sudut yang positif dan dia juga sentiasa reda apabila ALLAH memberikan pinjaman kaki itu hanya setakat usianya 22 tahun.

Menurutnya, dia bersyukur dapat menjalani latihan fisioterapi di Pusat Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka (PRPTAR) dengan kerjasama Perkeso Segamat selama dua bulan dan sekarang boleh berjalan meskipun menggunakan kaki palsu.

Ibu bapa Elia Nurul Syahida turut hadir melihat perkembangan positifnya selama dua bulan mendapatkan latihan di pusat itu.
Ibu bapa Elia Nurul Syahida turut hadir melihat perkembangan positifnya selama dua bulan mendapatkan latihan di pusat itu.

Katanya, kemudahan kaki palsu itu sekurang-kurangnya membantu pergerakan yang sebelum ini terpaksa bergantung dengan tongkat sekali gus menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan tunjuk ajar termasuk tenaga pengajar sokongan daripada Perkeso dalam merealisasikan impian saya untuk berjalan.

"Walaupun hanya kaki palsu namun membuatkan saya akan terus bersemangat dan berharap mereka yang senasib dengan saya dapat melenyapkan rasa putus asa dan menjadikan setiap hari-hari yang dilalui begitu berharga," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia merancang untuk menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan landskap di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berbaki hanya empat bulan lagi bermula September depan.

Tidak mahu terus berpeluk tubuh, Elia Nurul Syahida yang menetap di Segamat, Johor kini membuat jualan biskut coklat cip yang dihasilkannya sendiri bagi menjana pendapatan lebih-lebih lagi menjelang Ramadan yang semakin menghampiri.

Katanya, dia juga telah mula mengambil tempahan termasuk tempahan dalam talian yang sebelum ini pernah diuar-uarkan di media sosial.

Elia Nurul Syahida (lima, kanan) ketika menerima replika cek faedah hilang upaya kekal yang disampaikan Santhara.
Elia Nurul Syahida (lima, kanan) ketika menerima replika cek faedah hilang upaya kekal yang disampaikan Santhara.

"Sekurang-kurangnya Ramadan ini ada juga peluang untuk saya menambahkan pendapatan sebelum menyambung pengajian semula dan pergerakan membuat biskut secara tidak langsung akan membantu saya menyesuaikan diri menggunakan kaki palsu," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara yang turut melawat pusat itu berkata, Orang Berinsurans (OB) iaitu Elia Nurul Syahida menunjukkan perkembangan positif sepanjang proses pemulihannya di bawah program 'Return To Work.'

Menurutnya, Elia Nurul Syahida juga layak menerima faedah hilang upaya kekal berjumlah RM38,083.10 berserta dengan bayaran berkala bulanan yang bakal diterima RM534.00 akibat hilang upaya kekal yang dialaminya sebanyak 50 peratus.

"Keluarganya juga bersyukur dan berpuas hati terhadap perkhidmatan dan kerjasama Perkeso dalam membantu anak mereka sepanjang proses pemulihan itu.

"Saya difahamkan Elia Nurul Syahida juga telah ditawarkan UTM untuk menyambung pengajian secara sepenuh masa untuk mencapai cita-citanya di dalam bidang landskap dan bekerja bagi menyumbang kepada keluarga dan masyarakat," katanya.

Tambahnya, beliau turut mencadangkan agar beberapa program dengan kerjasama Pejabat Perkeso Segamat dapat diadakan untuk membantu Elia Nurul Syahida mendapatkan bantuan lanjut melalui sumbangan dan geran bantuan yang boleh diperoleh daripada pusat khidmat komuniti khususnya bagi mereka yang berada di kawasan Parlimen berkenaan.