Kerajaan realisasi tanah wakaf jadi surau

Mohamed Azmin (dua,kanan) dan Shamsul Iskandar (kanan) melihat peta pembinaan surau dan diperhatikan Kalsom (kiri) ketika lawatak tapak surau Tedong Barat, Serkam di sini semalam.
Mohamed Azmin (dua,kanan) dan Shamsul Iskandar (kanan) melihat peta pembinaan surau dan diperhatikan Kalsom (kiri) ketika lawatak tapak surau Tedong Barat, Serkam di sini semalam.
A
A
A

JASIN - Pemergian bekas senator Ahli Dewan Negara, Allahyarham Datuk Akhbar Ali, 70, yang telah mewakafkan sebidang tanah bagi pembinaan surau di Tedong Barat, Serkam harus dicontohi ramai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Allahyarham meninggalkan satu legasi yang murni dengan mewakafkan tanah berkeluasan setengah ekar kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tahun lalu.

Menurutnya, usaha Allahyarham untuk membina rumah ibadat bagi kemudahan kampung dan kegunaan penduduk berdekatan, bertepatan dekat dengan tuntutan Islam yang menggalakkan wakaf harta bagi kepentingan umat Islam.

Mohamed Azmin (kanan) dan Shamsul Iskandar meluangkan masa melihat rumah pusaka Allahyarham Datuk Akhbar Ali yang tapaknya turut akan dibina surau wakaf di Kampung Tedong Barat, Serkam.
Mohamed Azmin (kanan) dan Shamsul Iskandar meluangkan masa melihat rumah pusaka Allahyarham Datuk Akhbar Ali yang tapaknya turut akan dibina surau wakaf di Kampung Tedong Barat, Serkam.

"Namun sejurus saya meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 Allahyarham telah meninggal dunia dan berharap pembinaan surau itu dapat mengukuhkan perpaduan Islam dan menjana satu kekuatan baharu di Jasin untuk berpegang kepada prinsip-prinsip selaras dengan agama Islam.

"Bagi pihak kerajaan, kita merakamkan setinggi terima kasih kepada keluarga ini kerana perbuatan mewakafkan harta dekat dengan tuntutan Islam, mudah-mudahan amal ibadat Allahyarham diterima ALLAH SWT," katanya ketika ketika lawatan tapak surau wakaf di Kampung Tedong Barat, Serkam di sini.

Hadir sama, Speaker DUN Datuk Omar Jaafar dan Ketua Cabang PKR Jasin yang juga Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Jelas Mohamed Azmin, pembinaan surau berkenaan akan dimulakan selepas hari raya dan dijadualkan siap dalam tempoh enam bulan termasuk dilengkapi kemudahan bilik pengurusan jenazah.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan terus memantau secara peribadi pembinaan itu termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan surau wakaf ini siap sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan bagi kegunaan orang ramai," katanya.

Jelasnya, peruntukan RM500,000 menerusi kementerian itu merupakan daripada RM600.6 juta jumlah keseluruhan peruntukan bagi pembangunan infrastruktur di Melaka yang mana bagi Parlimen Jasin sebanyak RM5.5 juta selain RM110 bilion peruntukan bagi seluruh negara pada tahun ini.

"Antara kemudahan penting yang akan diberikan keutamaan seperti masjid dan surau, jalan-jalan desa, jambatan di kampung selain projek ekonomi baharu yang akhirnya bertujuan untuk mengangkat sosio ekonomi desa," katanya

Kalsom
Kalsom

Sementara itu, isteri Allahyarham, Datin Kalsom Aziz berkata, hasrat suaminya untuk mewakafkan tanah pusaka itu sejak dari dulu lagi memandangkan surau yang sedia ada kecil dan menumpang di atas tanah orang lain.

Menurutnya, biarpun Allahyarham baharu meninggal dunia, namun berharap 'hadiah' daripada arwah suaminya kepada masyarakat setempat termasuk taman perumahan berhampiran akan terus mengalir kepada arwah yang telah pergi.

"Syukur, perjalanan untuk mewakafkan tanah ini mudah sebelum mendapat peruntukan bagi merealisasikan impian arwah suami yang mahu membina surau di tanah wakaf ini.

"Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, malah kelulusan peruntukan ini juga pernah saya bisikan di telinga arwah walaupun ketika itu dia koma sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Akbar Ali meninggal dunia

Allahyarham Akbar meninggal dunia di Hospital Melaka selepas diserang angin ahmar pada 5 April lalu.

Jenazah dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Tedong, Melaka.