Akbar Ali meninggal dunia

Akbar Ali
Akbar Ali
A
A
A

JASIN - Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali, 70, meninggal dunia di Hospital Melaka pagi tadi selepas diserang angin ahmar sejak dua hari lalu.

Allahyarham, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.05 pagi di hadapan isteri, Datin Kalsom Aziz serta beberapa ahli keluarga lain.

Jenazah kemudiannya dibawa ke kampung halamannya di Kampung Tedong, Serkam di sini untuk disembahyangkan di Masjid Jamek Tedong dan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Tedong kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Allahyarham yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 2008 mewakili Melaka selama tiga tahun, meninggalkan seorang balu, lima anak dan sembilan cucu.

Semasa hayatnya, Allahyarham aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat jabatan kerajaan, kampung, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Lulusan Universiti Malaya dan Sarjana Sains dari London School of Economics & Political Science (LSE) itu memasuki Perkhidmatan Awam pada 1973 sebagai Perangkawan atau Statistician di bawah Skim Perkhidmatan Perangkawan sehingga beliau bersara sebagai Timbalan Ketua Perangkawan pada 2005.

Susulan kepakaran dan pengalaman yang luas, beliau dipilih mewakili negara dalam pelbagai persidangan, perundingan dan kumpulan pakar yang merangkumi ekonomi, perdagangan antarabangsa, pertanian, alam sekitar dan pembangunan modal insan.

Artikel Berkaitan:

Antara badan antarabangsa yang beliau turut terbabit adalah UN Economic and Social Commission for Asia-Pacific (ESCAP), UN Asia-Pacific Commission on Agricultural Statistics (APCAS), Asian Development Bank (ADB), Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) dan Statistical Institute for Asia-Pacific (SIAP).

Beliau kemudian dipinjamkan ke Socio-Economic Research Unit (SERU), Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Institut SEDAR di bawah KEMAS dan seterusnya ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka pada 2001.

Allahyarham Akbar seterusnya diberi kepercayaan untuk melaksanakan pelbagai tugas di Melaka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengurusan Melaka (IMM), Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Melaka (IIM), Pengarah Eksekutif Majlis Tindakn Ekonomi Negeri (MTEN), Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Pengurus MAIM Travel, Ketua Pengarang Melaka Hari Ini (MHI) dan Setiausaha Akhbar Ketua Menteri.