'Cendol Musang King percuma selama setahun'

Muhammad Ariff Qayyum (kiri) bersama bapanya, Mohd Zamri Mohd Taib, 51 teruja mengadakan program cabutan bertuah cendol Musang King percuma selama setahun yang dilancarkan bermula hari ini hingga 30 Jun depan.
A
A

MELAKA - Pengusaha gerai Raja Cendol Taming Sari menawarkan ganjaran makan cendol durian Musang King secara percuma selama setahun kepada pelanggan bertuahnya menerusi program cabutan bertuah yang dilancarkan bermula hari ini hingga 30 Jun depan.

Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zambri, 25, berkata, pemenangnya nanti boleh menuntut semangkuk cendol durian Musang King Taming Sari yang berharga RM38 setiap hari sepanjang setahun.

Menurutnya, ganjaran itu sepatutnya diberikan kepada pemilik gambar resit pembelian cendol Musang King kedainya yang tular di media sosial pada Februari lalu, namun individu terbabit telah menolak habuan tersebut.

"Pemilik gambar tersebut adalah seorang wanita dan selepas berbual di laman sosial Facebook, dia membuat keputusan supaya habuan bernilai RM13,870 itu diberikan kepada pelanggan bertuah yang lain.

"Jadi, pihak kami akan menunaikan permintaannya itu menerusi projek cabutan bertuah dan ganjaran yang diberikan kepada pemenang itu nanti akan dianggap sedekah yang diberikan oleh wanita berkenaan" katanya ketika ditemui di gerai Raja Cendol Taming Sari di Banda Hilir di sini hari ini.

Muhammad Ariff Qayyum berkata, sebagai syarat penyertaan, pelanggan hanya perlu membeli sekurang-kurangnya satu mangkuk cendol durian Musang King di kedai tersebut dan menunjukkan resit sebagai bukti pembelian.

"Pada awalnya ganjaran itu ingin diberikan sebagai tanda terima kasih kepada individu terbabit apabila perniagaannya semakin maju sejak kejadian resit berharga RM114 untuk tiga mangkuk cendol Durian King kedainya tular di laman sosial.

"Sejak gambar itu tular, pekerja kami tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang untuk menikmati cendol durian Musang King, malah hasil jualan turut meningkat tiga kali ganda," katanya.

Pada Februari lalu, sekeping gambar tular dalam media sosial memaparkan resit pembelian tiga mangkuk cendol durian Musang King Raja Cendol Taming Sari berharga RM114 yang mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk mendakwa harga tersebut terlalu mahal.

Pemiliknya bagaimanapun menjelaskan harga itu ekoran isi durian Musang King yang diletakkan di dalam cendol tersebut malah pihaknya juga telah memaparkan senarai harga bagi setiap menu cendol dijual antaranya Cendol Musang King (RM38), Durian Udang Merah (RM20), Durian D24 (RM20), Durian Kahwin (RM17) dan cendol biasa RM7.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 cendol durian RM114: 'Terima kasih tolong promosi'


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia