Jamal Abdillah, 29 penggiat seni dibenar saman tuntut royalti PRISM

Jamal (empat, kiri), Aris (lima, kiri) bersama sebahagian daripada rakan artis, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, bagi prosiding kes mereka terhadap PRISM.
Jamal (empat, kiri), Aris (lima, kiri) bersama sebahagian daripada rakan artis, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, bagi prosiding kes mereka terhadap PRISM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah bersama 29 penyanyi dan pemuzik tanah air, berjaya dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, untuk memulakan tindakan saman terhadap Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) bagi menuntut pembayaran royalti, sejak 2017.

Selain Jamal, atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, penggiat seni yang menuntut hak berkenaan ialah Datuk DJ Dave (Irwan Shah Abdullah), Datuk J Sham (Shamsuddin Jaafar), S Atan, Aris Ariwatan (Haris Fadzilah Daud), Ibnor Riza, Azharina Azhar, Ezlynn dan Julian Blues Gang.

Hakim, Ahmad Murad Abd Aziz membenarkan permohonan penggiat seni terbabit selaku pemohon, untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut mengikut Seksyen 471 Akta Syarikat 2016.

Sementara itu, peguam, Datuk Kamaruzaman Arif yang mewakili kesemua pemohon berkata, keputusan itu menjadi penanda aras buat penggiat seni lain bagi kes-kes seumpama itu di masa depan.

Susulan keputusan mahkamah, tindakan undang-undang terhadap syarikat ini akan dilakukan secepat mungkin, bagi mengetahui pengiraan royalti kerana ia membabitkan wang amanah.

"Kita tahu wang royalti ini telah dikutip pada 2017 dan 2018, namun bagi tahun seterusnya tiada maklumat sama ada wang tersebut telah dikutip atau tidak.

"Keputusan hari ini sangat menggembirakan dan ia merupakan pasca baharu untuk dunia hiburan,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Selain Kamaruzaman, pemohon turut diwakili peguam, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Sofiah Omar dan Muhammad Izzat Dzulkafli.

Pegawai penerima dan pelikuidasi yang juga peguam kanan persekutuan dari Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur, Rahni Kartini Abd Rahim dan Norizan Omar turut hadir pada prosiding berkenaan.

Pada 30 November 2018, seramai 30 penggiat seni memohon untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap PRISM sebagai responden dengan mengambil kira Perintah Penggulungan yang dikeluarkan terhadap syarikat itu.

Pada 13 September 2022, seramai 30 penggiat seni memfailkan notis usul beserta affdavit sokongan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memfailkan saman menuntut pembayaran royalti daripada PRIMS selaku badan berlesan yang mengutip royalti antara 2017 hingga 2021.

Melalui afidavit sokongan yang diikrarkan Jamal yang juga pelantun lagu 'Kekasih Awal dan Akhir’ menyatakan, berdasarkan carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), perniagaan PRISM (sebelum digulungkan) bertindak untuk ahlinya.

Ia adalah mengikut Memorandum Persatuan yang meliputi artis, pemuzik atau individu yang berhak terhadap hak di dalam mana-mana rakaman bunyi.

Jamal berkata, PRISM diisytiharkan sebagai suatu badan pelesenan di bawah Seksyen 27A Akta Hakcipta 1987 untuk menjalankan aktiviti kutipan dan pengagihan royalti muzik bagi pihak ahlinya.

Katanya, PRISM gagal, ingkar dan cuai untuk mengutip serta membuat pengagihan jumlah kutipan yang layak diterima bagi tempoh lima tahun tersebut.

“Kesemua usaha kami kepada pelbagai pihak menemui jalan buntu, maka usaha akhir ialah mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk memohon relief yang sepatutnya diterima daripada PRISM.

“Kami berhak untuk mengesan bayaran royalti yang tertunggak daripada jumlah yang dilaporkan oleh media dan mendapat kembali bayaran yang sama daripada syarikat itu.

“Sehingga kini, pemohon masih belum menerima apa-apa bayaran daripada jumlah kutipan royalti yang layak diterima,” katanya.

Sementara itu, Jamal yang menyanyikan lagu ‘Azura’ bersyukur dengan keputusan itu dan berharap agar golongan artis tidak tertindas pada masa depan.

Berkongsi pendapat sama, penyanyi lagu 'Lamunanku Terhenti, Aris Ariwatan berkata, ia titik permulaan untuk penggiat seni tanah air untuk berjuang mempertahankan hak masing-masing.