'Senaskhah Hidup' dan 'Rahsia Paling Rahsia' tarik minat pembaca Cina

Natalia Menunjukkan novel yang telah dibelinya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Natalia Menunjukkan novel yang telah dibelinya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perspektif terhadap karya bahasa Melayu yang dianggap kurang memuaskan dari segi plot ternyata berubah setelah membaca beberapa novel terbitan Kumpulan Karangkraf.

Seorang pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Natalia Ashley Cheong,13 berkata, antara novel tersebut ialah 'Rahsia Paling Rahsia' dan 'Senaskhah Hidup'.

Jelas remaja berketurunan Cina itu, dia sebelum ini pernah membaca beberapa novel bahasa Melayu semasa di bangku sekolah rendah, namun tidak memberikan suntikan minat yang mendalam terhadapnya.

"Sebelum ini, saya lebih kepada membaca karya berbahasa Inggeris seperti 'Harry Potter' dan 'Sherlock Holmes'. Tapi kali ini ada beberapa novel Melayu menarik perhatian saya.

"Kebiasaan kalau karya bahasa Melayu ini lebih kepada bergenre romantik, agak susah sikit nak jumpa gaya fiksyen atau berkisarkan sisi-sisi kehidupan.

"Akan tetapi hari ini elemen-elemen itu saya jumpa di sini, memang menarik minat saya," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist, Kuala Lumpur kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

'Senaskhah Hidup' merupakan novel karya penulis Azzah AR tentang sisi tiga individu yang mengalami kehilangan dalam kehidupan mereka.

Sementara itu, 'Rahsia Paling Rahsia' hasil penulisan Bahruddin Bekri menampilkan plot fiksyen mengenai seorang pemuda yang berusaha mendapatkan khazanah milik Kesultanan Melaka.