'Sanusi pemimpin berbahaya' - Guan Eng

GUAN ENG
GUAN ENG
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disifatkan sebagai seorang pemimpin berbahaya kerana sering kali mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun Muhammad Sanusi sedar dengan kesalahannya (mengeluarkan kenyataan yang tidak berpelembagaan) namun demi kepentingan politik, beliau sanggup mengeluarkan kenyataan hasutan demikian untuk menakut-nakutkan rakyat.

Menurutnya, sekiranya pemimpin seperti Muhammad Sanusi terus dibiarkan, tidak mustahil beliau akan meminda atau memadam hak-hak rakyat pada masa akan datang.

"Beliau ada sebut bahawa Perlembagaan harus dipinda, bermakna beliau sedar apa yang beliau sebut adalah salah. Jika negeri pun beliau nak 'padamkan', apa lagi hak-hak rakyat yang asas, saya rasa itu adalah yang amat berbahaya.

"Jangan mengancam kontrak sosial dan asas yang memberikan kemerdekaan kepada Malaysia dan semua negeri-negeri bersekutu. Saya harap bukan sahaja rakyat Pulau Pinang tetapi semua rakyat Malaysia yang inginkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran, kita harus menentang.

"Kita harus menolak dan menyahkan tindakan bahaya oleh seorang Menteri Besar yang tidak bertanggungjawab dan sedia menggadaikan apa-apa pun demi modal politik," katanya pada sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Guan Eng bersama beberapa pemimpin DAP negeri mengiringi Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer untuk membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya mengenai Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Guan Eng (empat dari kanan) memegang laporan polis yang dibuat Rayer di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut pada Khamis.
Guan Eng (empat dari kanan) memegang laporan polis yang dibuat Rayer di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut pada Khamis.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang turut mempersoalkan tindakan Muhammad Sanusi yang memainkan isu tersebut ketika ini.

"Beliau dah jadi MB tiga tahun, mengapa ketika Perikatan Nasional (PN) jadi kerajaan dulu, beliau tidak mainkan isu ini? Mengapa menjelang pilihan raya negeri (PRN), beliau dengan sengaja mengungkit isu sensitif yang boleh membangkitkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan rakyat?

"Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan seperti ini, sebelum ini pun beliau dah buat iaitu pada Februari lalu. Beliau sengaja mengungkit isu-isu sensitif ini untuk dijadikan modal politik. Orang seperti ini sangat bahaya kerana boleh mengancam keselamatan negara.

"Saya harap satu tindakan tegas dapat diambil kerana jika dibiarkan, orang seperti ini tentu ada penyokongnya. Ini akan menimbulkan perpecahan rakyat di seluruh negara. Hormat lah Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja," kata beliau.

Sementara itu, satu laporan polis dibuat terhadap Muhammad Sanusi oleh Rayer bagi memohon pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pemimpin Kedah itu kerana mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang.

"Sejak kemerdekaan negara pada 1957, tidak pernah ada mana-mana individu apatah lagi yang bertaraf ketua negeri pernah mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang.

"Saya membuat laporan polis ini bukan sahaja kerana mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Pulau Pinang malah untuk membela keabsahan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut yang mana, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Muhammad Sanusi turut mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.