Aktiviti Seni & Kraf cetus minat membaca

Anis Syamila menunjukkan buku kanak-kanak baharu Siapa Punya? yang dijual
di rerurai Karangkraf.
Anis Syamila menunjukkan buku kanak-kanak baharu Siapa Punya? yang dijual di rerurai Karangkraf.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti Seni & Kraf yang diadakan di rerurai Kumpulan Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 mampu mencetuskan daya kreativiti dan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim berkata, program tersebut turut mendapat sambutan dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka dapat mengisi masa lapang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan aktiviti kreatif.

Ujar Anis Syamila, menerusi acara yang menggalakkan pembinaan seni kreatif itu, kanak-kanak juga dapat mengurangkan kebergantungan atau ketagihan mereka kepada gajet dan lebih berminat terhadap bahan bacaan.

Kanak-kanak yang menyertai Acara Seni & Kraf di reruai Karangkraf sempena PBAKL
di WTCKL pada Rabu.
Kanak-kanak yang menyertai Acara Seni & Kraf di reruai Karangkraf sempena PBAKL di WTCKL pada Rabu.

“Istimewa hari ini (Rabu), kita ada Sesi Temu Mesra Penulis dan Aktiviti Seni & Kraf bersama penulis buku kanak-kanak, Basari Mat Yasit yang juga pereka grafik buku terbaharu bertajuk Siapa Punya?

“Selain bercerita mengenai buku itu, kita juga galakkan kanak-kanak melakukan aktiviti menggunakan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan seni,” katanya ketika ditemui di WTCKL pada Rabu.

Tambah Anis, sepanjang PBAKL berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan Karangkraf setiap hari termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

“Pertandingan mewarna memang tidak ada waktu tetap, mungkin pada jam 1 petang hingga 5 petang. Kita jangkakan dalam 10 ke 15 peserta di mana mereka ramai-ramai melakukan aktiviti mewarna.

Kanak-kanak menunjukkan bakat mewarna masing-masing pada pertandingan mewarna di reruai Karangkraf.
Kanak-kanak menunjukkan bakat mewarna masing-masing pada pertandingan mewarna di reruai Karangkraf.

“Tahun ini, kita sediakan satu ruang supaya kita boleh adakan aktiviti dengan kanak-kanak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anis memberitahu, fokus penjualan bahan bacaan untuk kanak-kanak diberi keutamaan dari segi menghidupkan semula cerita hikayat rakyat dahulu, pada masa sama menerapkan mesej positif dalam buku berkenaan.

“Alhamdulillah, dari tahun lepas ibu bapa mencari banyak buku kanak-kanak dan kali ini buku kanak-kanak yang diterbitkan Karangkraf pun lebih menarik.

“Bukan sahaja buku-buku ini mempunyai kandungan yang berilmiah, tetapi kualiti juga ditambah baik supaya pembaca pun jadi lebih minat untuk membaca,” katanya.

Jelas beliau, buku kanak-kanak dijual dengan harga serendah RM8 hingga RM12 sahaja.

Ujarnya, pengunjung juga boleh menikmati promosi diskaun sebanyak 10 hingga 15 peratus untuk buku kanak-kanak termasuk keluaran terbaharu Karangkraf.

Sejumlah 42 buku baharu kanak-kanak terbitan Kids Prima turut boleh didapati di reruai Karangkraf di PBAKL yang berlangsung pada 26 Mei hingga 4 Jun.

Basari (kiri) bergambar bersama Ajma dan keluarganya yang membeli buku Siapa Punya? di PBAKL pada Rabu.
Basari (kiri) bergambar bersama Ajma dan keluarganya yang membeli buku Siapa Punya? di PBAKL pada Rabu.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Ajma Mohd Yassin, 35, berkata, PBAKL menawarkan banyak pilihan bahan bacaan, terdapat juga buku-buku tertentu dijual dengan harga promosi.

“Saya memang sudah rancang untuk membeli dalam 10 atau lebih buku kanak-kanak sebab banyak sangat (pilihan).

“Ini kali pertama saya bersama suami datang dengan anak-anak, seorang berumur empat tahun dan seorang lagi baru masuk dua tahun,” kata suri rumah itu.