PM lulus peruntukan RM3 juta bantu selesai isu air di UMS

Anwar beramah mesra dengan mahasiswa yang hadir pada Program Temu Anwar di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu pada Rabu.
Anwar beramah mesra dengan mahasiswa yang hadir pada Program Temu Anwar di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membuka tiga projek penggerudian air bawah tanah dan pusat rawatan air bawah tanah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau berkata, peruntukan itu akan disalurkan dalam masa terdekat dan ia adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan

"Saya luluskan RM3 juta. Ini keadaan yang sukar, saya ambil alih jawatan Perdana Menteri dalam keadaan hutang RM1.5 trilion.

"Jadi bila saya diminta wang tidak semudah itu, tetapi saya cakap kerana ambil perhatian kerana nak mandi pun susah air tak cukup, nak belajar susah.

"Dalam beberapa hari, kita pastikan wang disalur bersama kerajaan negeri, tetapi jangan ganggu mahasiswa, kakitangan itu tanggungjawab kerajaan persekutuan," katanya ketika menjawab soalan daripada mahasiswa menerusi Program Temu Anwar di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Rabu.

Soalan yang dikemukakan oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin adalah berkaitan isu masalah air yang dihadapi di UMS di mana pihak pengurusan UMS terpaksa mengeluarkan dana sendiri bagi projek berkenaan bagi setiap kolej kediaman di universiti ini.

Jeeva memaklumkan, projek itu memerlukan kos keseluruhan sebanyak RM690,000 dan UMS terpaksa menggunakan kos yang besar bagi mengurangkan kesan masalah air sedangkan universiti lain tidak menghadapi masalah berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan berkaitan isu tiket penerbangan yang mahal yang perlu dihadapi, Anwar menjelaskan bahawa ia adalah urusan syarikat swasta, namun kerajaan juga turut mengambil inisiatif bagi membantu golongan mahasiswa bagi menangani kos berkenaan.

"Isu penerbangan ini adalah urusan syarikat swasta, bukan kerajaan yanga da syarikat penerbangan untuk memberi subsidi.

"Sebab itu bila kerajaan Sarawak Premier mencadang untuk adakan syarikat penerbangan baharu dan minta kerajaan Sabah juga bersama untuk dapat mengurangkan kos, saya segera berikan persetujuan.

"Untuk menghadapi cuti Kaamatan, Gawai dan kemudian Hari Raya dan sebagainya, kita dari kerajaan akan menyewa pesawat supaya kos itu boleh sekitar RM300 hingga RM350 dari Kuala Lumpur ke sini (Sabah), tetapi kita boleh panjangkan kalau ada keperluan untuk kawasan di Sabah dan Sarawak.

"Saya setuju kerana kos keterlaluan, kos dari Miri ke Kuching, itu seperti kos Kuala Lumpur ke New Delhi memang tidak munasabah," katanya.

Sebelum itu, soalan berkenaan dikemukakan oleh salah seorang mahasiswa dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang turut menghadiri program berkenaan.